Kenangan Kembara Korban Kemboja 2019

12 Ogos 2019 : Ketibaan

Bermulalah misi Ziarah Qurban Pursat Kemboja 11-15 Ogos 2019 Yayasan Raudhah bersama sukarelawan serta wakil Agensi daripada Jabatan Kerajaan, Masjid, Surau serta Syarikat Korporat yang melibatkan lebih 360 ekor lembu korban. Mengapa Kemboja menjadi pilihan ?

Telah habis ke lembu di Malaysia atau telah settle ke fakir miskin mendapat bahagian daging korbannya ? Di Airport tadi, dibanjiri rakyat Malaysia dengan misi yang sama. Apakah kerajaan Kemboja tidak menyedarinya dan apakah sikap kerajaan Kemboja terhadap warga umat Islamnya ?

Tak sangka juga di airport Kemboja ketemu Tn Hj Abd Latif, kawan lama masa sesama tinggal di Taman Saujana Utama, Sg Buloh. Kiranya macam suatu petanda baik. Tapi dia pergi misi korban ke kawasan lain.

Bandar destinasi kami ialah Pursat yang terletak kira-kira 170km dari Airport Phnom Penh. Perjalanan dari Airport ke Pursat mengambil masa 4-5 jam. Namun dalam van, layan sahajalah apa yang dapat dilihat ke luar. Kalau highway di Malaysia 170km boleh dicapai dalam 1 jam setengah.

Namun kami berhadapan dengan kesibukan serta mutu jalanraya yang digunakan termasuk yang dalam pembinaan atau upgrade jalan yang merupakan jalan utama ke Pursat. Mungkin 1-2 tahun lagi, apabila jalanrayanya siap, perhubungan menjadi lebih pantas.

Singgah lunch di rumah Mufti Pursat yang terletak atas air di pinggiran Tasik Tonlesap yang juga merupakan tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara. Beliau menjadi penghubung penting bagi Yayasan ar-Raudah dalam membantu masyarakat Islam di Pursat Kemboja.

Malangnya Mufti ada urusan lain dan tiada di rumah yang juga merupakan sebuah kedai peralatan menangkap ikan. Suatu pengalaman yang unik sambil melihat perkampungan pingiran tasik yang rata2 mengharapkan generator dan sistem solar untuk bantuan elektrik.

OTW ke hotel penginapan, singgah di satu perkampungan Muslim bagi menyempurnakan penyembelihan korban pertama bagi group kami yang melibatkan 7 ekor lembu dihadapan Masjid Al-Hidayah yang sedang dalam pembinaan bangunan barunya.

Kesempatan diambil bagi menyampaikan beberapa sumbangan. Moga pembangunannya akan seiring dengan semangat dan perkembagan umat Islam di sana.

13 Ogos 2019 : Hari Kedua Yang Padat

Kami peserta ziarah menginap di Hotel Pursat Century di pinggir pekan Pursat. Agaknya dua atau tiga bintang kot. Tetapi macam tak berapa terurus. Tapi tak penting la tu. Semangat tengah berkobar-kobar dengan xtvt ziarah korban ni sambil berharap ianya akan berjalan lancar.

Kami berkumpul dan bersarapan di Madrasah Svay Park dengan hidangan yang disediakan oleh penduduk tempatan. Tanpa banyak soal, makan sahajalah. Memang pelik sikit hidangannya, yang penting halal.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kenderaan van yang disediakan. Bagus juga diberikan t-shirt seragam supaya lebih mengenali bahawa mereka adalah ‘orang kita’.

Yang menariknya pada pagi ini, berpeluang menyembelih sendiri lembu korban. Payah nak dapat pengalaman begini di tanah air tercinta. Kena langkah mayat tukang sembelih .. hehe.

Setiap haiwan yang dikorbankan akan diambilk gambarnya beserta dengan senarai nama peserta korban bagi haiwan berkenaan. Gambar2 ini penting sebagai bukti yang akan dihantar kepada para peserta menerusi aplikasi media sosial sepereti WhatsApp.

Tugasan melapah dan agihan diserahkan kepada penduduk setempat untuk menyelesaikannya secara gotong royong. Kalau kami pun nak membantu melapah, tak dapat nak selesai semua lembu untuk dikorbankan. Yang penting dipastikan disembelih dengan betul sebagaimana hasrat peserta korban di Malaysia.

Namun teknik melapah disini nampak macam ringkas dan tak memerlukan ramai orang. Kat Malaysia pun sama sebenarnya, cuma ramai yang tolong2 nak amik berkat.

Kemudian bersama penduduk muslim dalam Majlis Kenduri Aqiqah dan Penyampaian Sumbangan berupa barangan makanan asas harian serta pakaian kepada kira2 100 keluarga di Kg Andung Chrum.

Kawasan ini merupakan kali pertama dikunjungi oleh Rombongan Yayasan Ar-Raudhah dan kami diberi layanan terbaik. Tersesat juga nak cari tempat ini, padahal pemandu van merupakan orang Kemboja juga.

Sebelum bertolak, penganjur memang ada pesan untuk membawa ‘jajan’ supaya dapat diagih-agihkan kepada kanak-kanak di sini. Maka bawalah mana yang senang dan terdaya di bawa bersama. Memang benar, mereka sukakannya malah berebut-rebut untuk mendapatkannya. Walaupun beberapa kali di suruh beratur, tak makan saman !!

Tak tahulah apa nama kampung kunjungan terakhir Ziarah Korban hari ni. Hanya kami bertiga dan peserta ziarah lain masuk hotel akibat kepenatan katanya. Jauh terperusuk dengan jalan tanah merah yang bersekali-sekala berombak @ macam naik kuda untuk van kenaikan kami mengelak lubang jalan.

Setelah kira-kira satu jam perjalanan, akhirnya tiba di satu perkampungan Muslim dengan 30 keluarga yang kebetulan ketika itu sebilangan kanak2 sedang mengaji di pondok burok.

Bagaimana kehidupan harian mereka agaknya dan mengapa di sini penempatan mereka ? Tidak sempat bertanyakan sejarahnya. Mungkin selain daging korban, mereka juga perlukan buku-buku atau kitab serta pakaian.

Agak menarik juga bagaimana penyediaan makanan untuk lembu di kawasan ini. Bagus juga kalau mereka bela lembu, kemudian Yayasan Ar-Raudhah beli untuk dikorban. Sekurang-kurang dapat meningkatkan ekonomi umat Islam di sini.

14 Ogos 2019 : Hari terakhir di Svay Pak, Pursat.

Selain daripada menyelesaikan baki2 lembu korban, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk Islam setempat dan pelajar madrasah.

Dengan himpunan umat Islam setempat pada pagi ini, kelihatan meriah seperti hari raya sahaja. Kelihatan pihak berkuasa keselamatan juga hadir, khabarnya bagi meninjau xtvt serta perjalanan program hari ini. SB kot ?

Juga disampaikan sumbangan sebanyak RM160,000 kepada pembinaan bangunan tambahan Madrasah Tahfizul Quran Wal Hadith Ar-Raudhah.

Pendidikan Islamiah kepada anak-anak di madrasah ini sangat penting sebagai generasi menyambung dan mempertahankan Islam pada masa akan datang. Semoga penduduk Islam ini terus kuat menghadapi masa depan mereka selain bantuan doa dan material dari kita sedara seIslam.

Lebih 10 tahun lalu, masyarakat Islam di Svay Park, Pursat Kemboja hanya pada namanya Islam. Jauh sekali diterjemahkan dalam amalan dan kehidupan harian. Justeru, Yayasan Ar-Raudhah terpanggil untuk membantu ‘memulihkan akidah’ mereka.

Selain itu, bantuan diberikan untuk kemajuan dari segi pendidikan, sosioekonomi dan taraf hidup seperti menerusi penyediaan telaga air termasuk pam air, pembinaan bangunan madrasah tahfiz, menyediakan ustaz pembimbing, buku, kitab dan juga kilang roti menerusi saham wakaf daripada rakyat Malaysia.

Kembali ke Phnom Penh

Setelah berpenat dengan jadual padat ziarah korban, kembali semula ke Phnom Penh dan disajikan pulak kerehatan menikmati keindahan sun-set serta makan malam ala barbeque di atas cruise yang merentasi pertemuan Sungai Mekong dan Tonle Sap.

Ketika menyusuri Sg Mekong semasa xtvt cruise, terkejut melihatkan satu kawasan yang terdapat banyak sampan berpenghuni di tebing sungai berlatar belakangkan sebuah hotel mewah. Rupanya mereka inilah yang dikatakan sebagai masyarakat sampan, tinggal dalam sampan lantaran kemiskinan dan tidak mampu memiliki rumah sendiri di atas tanah.

Dikatakan juga ramai dikalangan mereka adalah Muslim dan mereka juga antara mangsa kekejaman Pol Pot yang lari dengan sampan mereka ke negara jiran.

15 Ogos 2019 : Hari Terakhir Dan Pulang

Berpeluang Suboh di sebuah masjid yang baharu serta terbesar di Phnom Penh. Bagaimana boleh kewujudannya di tengah-tengah bandaraya yang majoritinya berugama Buddha ? Sudahlah besar begitu, tidakkah mengundang keresahan kepada penduduk Buddha lain ?

Ia asalnya dibangunkan oleh ahli perniagaan UAE tahun 1968 selepas kejatuhan Khme Rouge, tetapi dibangunkan semula pada tahun 2012 dan siap pada tahun 2014 oleh Keluarga Al-Serkal UAE.

Di perkarangan masjid ini ketemu Dr Jamil Adimin yang mula dikenali masa sesama bertugas di Bangunan Lembaga peperiksaan Jalan Duta. Beliau yang telah bersara sebagai Ketua Eksekitif Majlis Peperiksaan Malaysia, mengikuti ziarah korban juga dengan kumpulan lain. Kiranya beliau adalah ‘sparring -partner’ dulu kalau nak cakap jawa kat pejabat … haha. Tak sangka ketemu di Phnom Penh.

Selepas sarapan, melawat Museum Tuol Seng yang asalnya merupakan sebuah sekolah tinggi, tetapi telah dijadikan penjara yang menempatkan hampir 20,000 tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kejam kuku besi Regim Pol Pot di Kemboja dari tahun 1975 hingga 1977.

Ia juga memberi kesan kepada jumlah umat Islam di Kemboja, sama ada turut terkorban atau lari ke negara lain termasuk Malaysia. Berpeluang bertemu dengan salah seorang mangsa yang terselamat, kini berusia 49 tahun dan aktif menjual buku pengkisahan pengalaman beliau dalam kawasan museum.

Entah mengapa, sasarannya adalah kakitangan kerajaan, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang tampak ‘intelek’.

Sebelum kembali ke tanah air, rombongan Ziarah Korban Ar-Raudah di bawa ke Central Market untuk slot shopping ‘barangan local’. Seperti kebanyakan kedai2 di Kemboja, mereka menerima pembayaran dalam USD. Kira mudah, USD1 = RIEL 4,000 @ RM 4.00 dan kami dinasihatkan bawak wang dalam USD sebab money changer tidak terima RM.

Kini Ar-Raudah cuba membantu daripada segi pertanian serta pembinaan asrama pelajar. Kebersamaan 4H3M dalam program Ziarah Korban mereka kali benar2 memberi peluang melihat dan menyaksikan sendiri hasil usaha yang telah dan sedang dilakukan. Keterangan lanjut boleh diperolehi daripada Fb Yayasan Ar-Raudah. Sesamalah kita membantu sedara seislam kita, juga sebagai saham akhirat kita.

Pengalaman mengikuti Ziarah Korban Pursat Kemboja bersama Yayasan Ar-Raudhah meninggalkan kenangan dan pengalaman begitu berharga. Semoga Allah berikan kekuatan kepada umat Islam di sana, dipermudahkan urusan untuk terus bangkit. Semoga dipanjangkan umur dapat kesana lagi.

Please follow and like us:
Total Page Visits: 224 - Today Page Visits: 4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *