June 21, 2021

Menarik Di Taiping

Jika ke Taiping, tak lengkap rasanya tanpa mengetahui latar belakang bandarnya ini. Bandar Taiping atau nama lamanya, Klian Pauh merupakan ibu kota kepada daerah Matang, Larut dan Selama. Sebelum 1973, Taiping merupakan ibu negeri Perak. 

Taiping bermaksud “Aman” atau “Damai” dalam bahasa Cina. Tercetus dari pertelingkahan puak-puak pendatang negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Gee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu.

Persatuan kontgsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai bandar di daerah Larut.

Di bandar inilah banyak peninggalan bangunan yang sudah tua dengan reka bentuk yang jelas sekali mendapat pengaruh Inggeris.

Sebagai tempat pengeluaran bijih timah, bandar Taiping mendapat perhatian daripada para penjajah untuk dibangunkan dan oleh sebab itulah, terdapat banyak lokasi menarik di sini yang merupakan yang pertama sekali wujud di Tanah Melayu.

Zoo Taiping

Zoo Taiping pula adalah zoo yang pertama yang wujud ni negara ini. Taman yang berkeluasan 30 ekar ini memuatkan sekitar 1300 ekor haiwan yang dibiarkan bergerak bebas di dalam habitat semula jadi mereka.

Bagi pencinta haiwan, di sinilah anda dapat mendekati dan mempelajari banyak tentang sifat dan suasana persekitaran sebenar mereka.

Selain itu, Zoo Taiping juga merupakan pelopor Night Safari di Malaysia. Ketika waktu malamlah anda dapat melihat aktiviti-aktiviti haiwan yang kebiasaannya bersifat lebih aktif. Lebih aktif haiwan-haiwan ini, lagi menarik ragam yang dapat disaksikan.

Muzium Taiping

Muzium Taiping yang bangunannya bereka bentuk neo-klasik Inggeris ini, , merupakan sebuah muzium yang mengumpulkan lebih daripada 8000 koleksi yang terdiri daripada koleksi barangan kebudayaan, arkeologi dan alam semula jadi.

Sesetengah daripada bahan yang dipamerkan di sini telah diklasifikasikan sebagai koleksi yang rare yang berusia lebih daripada seratus tahun dan sukar ditemui ataupun semakin pupus.

Antara yang dapat dilihat di muzium ini adalah spesimen haiwan, artifak kraftangan, tembikar dan banyak lagi.

Dataran Warisan Taiping

Sudah kehabisan idea nak kemana pada waktu malam di Taiping ? Apa kata kalau anda bawa keluarga anda makan angin di Dataran Warisan Taiping. Bermacam-macam aktiviti yang dijalankan di sini, ada yang bermain kasut roda, basikal, skuter, kereta kawalan berwarna-warni dan macam-macam lagi.

Yang menariknya lagi, bersebelahan dengan Dataran Warisan Taiping ini juga terdapat pasar meriah ala-ala uptown yang diberi nama Bazaar Cross Street. Pilihan barangan dan makanan yang ada di sini boleh membuatkan sesiapa sahaja rambang mata.

New Clock Tower (Old Market)

Sebenarnya, di Taiping ini terdapat 2 buah menara jam, dan ini adalah salah satunya, New Clock Tower. New Clock Tower yang terletak berdekatan dengan pasar ini memiliki reka bentuk yang sangat unik dengan kaca berwarna-warni yang agak menarik untuk dilihat.

Namun sedihnya jam pada menara ini sudah tidak lagi berfungsi. Boleh dilihat tertulis pada badan menara ini adalah “Pasar Lamar, 1885.”

Menara Jam Besar Taiping

Manakala Clock Tower yang terletak di Jalan Kota ini adalah sebuah menara jam yang dibina pada tahun 1881 menggunakan kayu. Pada tahun 1891, menara ini diperbaharui menggunakan batu-bata. Kalau anda nak tahu, bangunan sebenar menara ini berbentuk kubu empat segi yang telah pun dibuang.

Info menarik yang lain berkaitan menara jam ini adalah ia pernah dijadikan sebagai stesen polis dari tahun 1908 hingga 1950, kemudian, ia ditukar fungsi sebagai balai bomba.

Kini, Clock Tower ini dijadikan sebagai Pusat Informasi Pelancong Taiping di mana anda boleh mendapatkan peta perjalanan dan info tentang di Taiping.

Informasi-informasi lain berkaitan pelancongan juga boleh didapati di sini yang termasuklah mengenai tempat penginapan. Selain itu, anda juga boleh membeli cenderamata yang dijual di sini sebagai tanda peringatan.

Mee Udang Kuala Sepetang

Kuala Sepetang atau nama ‘British’nya Port Weld merupakan destinasi yang dapat membahagiakan deria rasa anda yang sentiasa mengimpikan juadah yang enak. Kuala Sepetang terletak 12 km dari bandar Taiping

Dalam banyak-banyak makanan yang terdapat di sini, yang paling wajib dicuba dan menjadi kegilaan ramai adalah mee udangnya. Memang terbaik!

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah memancing di atas bot bersama nelayan, melihat kelip-kelip, melawat kilang pemprosesan arang tradisional, memerhati burung dan banyak lagi yang melibatkan alam semula jadi

Please follow and like us:
Total Page Visits: 406 - Today Page Visits: 5