Amalan Masuk Syurga

Daripada Muaz bin Jabal r.a pada suatu pagi aku bertanya, “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?” Lalu Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia adalah perkara mudah bagi orang yang Allah jadikan mudah baginya iaitu, “Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi, “Wahai Muaz, Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Pintu-pintu itu adalah puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian Baginda membacakan ayat yang bermaksud, “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 16-17)

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka, Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?”. Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi) 

Please follow and like us:
Total Page Visits: 353 - Today Page Visits: 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *