Cabaran Pendidikan Digital

Semasa mengikuti program rasmi ofis di Sibu Sarawak akhir September 2020 lalu, berkesempatan melawat beberapa buah sekolah di kawasan pendalaman Sibu. Tujuan asal lawatan adalah bagi meninjau infrastruktur ICT yang terdapat di sekolah tersebut.

Jurang Digital

Ternyata bahawa jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar menjadi antara cabaran dalam proses pembelajaran digital di sekolah terutamanya dari segi ketiadaan akses, infra, prasarana atau peralatan.

Apakah perkara yang sama juga berlaku jika pengajaran dan pembelajaran hendak dilakukan di rumah sebagaimana berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 bebaru ini.

Mungkin juga amalan pendidikan dari rumah akan menjadi kelaziman baru. Namun tidak semua pelajar mempunyai akses kepada platform digital serta tidak semua berkemampuan menyediakan sendiri peralatan. Sesetengah orang mungkin berkata berapa peratuslah sangat golongan ini. Soalnya, akan semakin besarlah jurang.

Tahap Kesediaan

Pendidikan digital memerlukan bukan sahaja tahap kesediaan pelajar, juga tahap kesediaan guru dalam menghadapi pembelajaran di rumah. Para guru, kini perlu melengkapkan diri dengan penguasaan dalam teknologi digital dan menguasai ilmu berkaitan ‘e-learning’, untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Namun para guru mungkin mempunyai pelbagai peringkat sama ada memang bersedia, masih keliru dan belum bersedia langsung. Tidak semua guru celik teknologi maklumat yang dapat membiasakan diri dengan norma baru dan norma pendidikan digital itu, terutamanya golongan guru lama.

Kandungan Pendidikan Digital

Dalam menyediakan kandungan pendidikan digital termasuk menerusi e-learning (e-pembelajaran), ianya juga merupakan suatu cabaran bagaimana menyediakan kandungan mata pelajaran bersesuaian, tidak membebankan, menarik serta menyeronokan.

Kementerian Pendidikan Malaysias (KPM) ada menyediakan pelantar pembelajaran menerusi Google Classrom sejak Julai 2019 yang dapat dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar. Namun berapakah statistik penggunaanya ? Sejauhmana ianya dimanfaatkan ?

Pelaksanaannya juga mungkin bergantung kepada usaha yang lebih daripada para guru dan murid. Malah tidak kurang juga bagi para ibu bapa yang terpaksa berkorban demi pendidikan anak-anak.

Dalam kawasan sekolah sendiri pun, pihak guru telah arif mana-mana kawasan yang dianggap hot-spot, yang mana terdapat coverage internet mengikut syarikat telekomunikasi penyedia. Disitulah para guru berkumpul untuk mengisi data serta melaksanakan tugas on-line bagi perkhidmatan yang diperlukan oleh KPM.

Bagi pihak syarikat telekomunikasi yang bermotifkan keuntungan, mereka mungkin masih dalam persimpangan. Sejauhmana bersedia melabur menyediakan infrastruktur akses kepada internet bagi kawasan pendalaman ?

NFCP

Dalam hal ini, mungkin pihak kerajaan perlu memainkan peranannya dan difahamkan ianya menjadi agenda dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara The National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) dirangka bagi memenuhi keperluan negara dalam meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar, mengurangkan harga jalur lebar dan menyediakan akses jalur lebar untuk semua lapisan masyarakat.

Alternatif sekarang bagi yang tidak disediakan akses internet, teknologi satelit menjadi plihan. Namun ia bukanlah merupakan pilihan yang baik lantaran masalah bandwitdth yang kecil dan tidak sesuai untuk pendidikan digital.

Infrastruktur komunikasi terutamanya rangkaian fiber diperlukan bagi menyokong agenda ekonomi digital, dan membolehkan semua rakyat memanfaatkan peluang dan meneroka teknologi dan inovasi terkini.

Namun sejauh mana rakyat boleh menunggu memandangkan pelaskanaannya adalah selama lima tahun, iaitu tahun 2019-2023. Dengan saling perubahan pucuk pimpinan kerajaan dan kestabilan politik, dibimbangi polisi atau keutamaan telah berubah kerana pelaksannaanya bergantung juga kepada keupayaan kewangan kerajaan.

Cabaran Semua

Oleh kerana itulah, sepanjang tempoh PKP ini, terdapat guru-guru di sekolah pendalaman akan menghantar tugasan melalui aplikasi WhatsApp dalam kumpulan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau pelajar sendiri. Manakala bagi yang tiada akses, guru itu sendiri akan menghantar tugasan kepada mereka secara bersemuka sehingga terpaksa berjalan jauh ke rumah-rumah anak murid mereka.

Di sinilah kita dapat melihat kegigihan para guru dalam memastikan pelajar meneruskan pembelajaran mereka. Terpulanglah juga kepada ibu bapa murid dan pelajar sendiri sama ada mereka benar-benar prihatin dengan kepentingan pendidikan anak mereka atau sebaliknya. Itu juga suatu cabaran.

Please follow and like us:
Total Page Visits: 20 - Today Page Visits: 7

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *