Keunikan Masjid Tengkera

Sudah lama nak singgah, namun baru berkesempatan singgah pada 6 Oktober 2020 yang lalu. Senang sahaja mencarinya dan masjid tersebut terletak di tepi jalan sahaja.

Masjid Tengkera atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Besar Tranquerah adalah warisan penting bagi masyarakat dan negeri Melaka. Bangunan masjid ini adalah lambang kedatangan Islam yang mula tersebar di Melaka sejak 600 tahun dahulu. Nama Tengkera itu dikatakan berasal daripada perkataan Portugis iaitu ‘tranquerah’ yang bermaksud benteng pertahanan

Mula dibina sekitar tahun 1728 dengan bangunan asalnya daripada tiang kayu berlian dan beratapkan daun nipah ketika zaman pemerintahan Belanda. Seterusnya ia diubahsuai pada tahun 1910 kepada bentuk yang ada sekarang.

Daripada segi konsep, masjid ini telah dibina berasaskan prinsip Islam dengan empat tiang utama menjadi asas kepada bumbung dan kubah atau simboliknya adalah perhubungan di antara alam manusia  dan Penciptanya. Manakala puncak masjid adalah sumber kepada segala pengharapan dan doa kepada Allah s.w.t.

Daripada segi fizikalnya masjid ini telah dibina berasaskan budaya Melayu Nusantara dengan gabungan kesenian Timur dan Barat. Keunikan seni bina pahatan motif flora dan ukiran kerawang pada kayu jelas terlihat pada pintu gerbang, pintu masuk masjid dan tingkap.

Manakala ruang solat utamanya mempamerkan kehalusan kraf terutama pada ukiran mimbar, tiang dan gerbang pintu.

Di bahagian luar pula terdapat Menara konkrit yang bersegi lapan nya yang mirip sekali dengan pagoda Cina serta dihiasi dengan motif pahatan batu yang menarik dan unik.

Masjid ini pernah menjadi masjid utama negeri Melaka sebelum Masjid Al-Azim dibina dan seterusnya diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Di dalam komplek masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah, Penguasa Johor dan Singapura yang kemudian menandatangai penyerahan pulau Singapura kepada pemerintah Inggeris yang diwakili oleh Sir Stanford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819 yang menjadi awal lepasnya Singapura dari Kesultanan Johor.

Setelah penyerahan Singapura, beliau meninggalkan Singapura dan pindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhamad Shah wafat pada tanggal 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.

Please follow and like us:
Total Page Visits: 44 - Today Page Visits: 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *