Darurat Tak Cetus Kecelaruan Politik

SOAL JAWAB BERITA HARIAN: ‘DARURAT TAK CETUS KECELARUAN POLITIK’

Dr Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik (Undang-Undang Dan Perlembangaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

(BH: 25 Oktober 2020. Halaman 12-13)

SOALAN: Spekulasi timbul kononnya PM akan mencadangkan kepada Agong supaya pengisytiharan darurat dibuat mengambil kira penularan gelombang ketiga Covid-19 ketika ini serta kemelut politik semasa. Apa pandangan Dr, adakah ia langkah itu sesuai dilaksanakan?

JAWAPAN: Ramai orang takut dengan darurat. Ini kerana darurat muncul bila berlaku rusuhan kaum, kekacauan dan mungkin perang. Sebenarnya dalam Perlembagaan ada ruang untuk isytihar darurat atas sebab ekonomi. Dalam situasi wabak Covid-19 ini antara yang paling terjejas ialah ekonomi. Bukan sahaja ekonomi negara tetapi ekonomi rakyat, ekonomi rumahtangga. Rakyat terjejas teruk. Puncanya adalah wabak Covid-19. Dan kita perlu ingat bahawa cabaran wabak Covid-19 ini adalah suatu situasi yang luar biasa atau unprecedented situation. Jadi kita memerlukan langkah yang luar biasa. Jadi langkah darurat memang sesuai.

Jadi orang ramai tak perlu khuatir. Darurat Covid-19 ini tak ada kaitan kekacauan atau sebagainya. Rakyat perlu kekal tenang, dan terus patuh dengan SOP. Darurat ini dibuat kerana kerajaan perlu kuasa yang jelas. Bukan mudah nak suruh rakyat tidak keluar rumah, nak gerakkan jentera polis dan tentera, serta untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang engkar. Kita mengejar masa antara kecekapan kita bertindak dan kecepatan virus merebak. Keadaan sekarang terhad kepada beberapa sekatan dan halangan birokrasi. Ini yang mahu dirungkaikan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi Perhimpunan Agung PBB 11 September 2020 baru-baru ini menekankan konsep “a whole-of-government response” bagi mengatasi Covid-19 ini. Maksudnya keseluruhan jentera kerajaan perlu fokus kepada isu ini, bukannya Kementerian Kesihatan sahaja. Ini juga pendekatan dalam banyak negara.

Satu badan antarabangsa iaitu The Centre for Civil and Political Right (CCPR-Centre) telah buat pengumpulan data. Dalam laman web mereka disebut bahawa terdapat 79 negara telah mengisytiharkan darurat sebagai tindakbalas menangani pandemik Covid-19. Ini termasuklah Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan. Tapi Malaysia belum. Sebab kita guna Akta 342 iaitu Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

SOALAN: Jadi, maksudnya dalam situasi semasa darurat perlu kerana cara yang sedia ada tak cukup?

JAWAPAN: Ya, tidak mencukupi. Sebenarnya kerajaan sudah boleh isytihar darurat waktu kita mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bulan Mac yang lalu. Tapi mungkin ia tidak dibuat kerana waktu itu fokus diberikan kepada penyelesaian masalah yang lebih besar iaitu memutuskan rantaian jangkitan dan menyediakan infrastruktur kesihatan serta penguatkuasaan undang-undang.

Akta 342 ini waktu itu digunakan sebab ia mempunyai ruang perundangan untuk pelaksanaan arahan-arahan yang perlu pada waktu itu. Tapi ia tidak sesuai untuk jangka panjang. Pertamanya akta itu terhad kepada tujuan ‘mengawal penyakit’, sedangkan usaha mengatasi Covid-19 ini melibatkan perkara yang lebih luas seperti kebajikan rakyat, penyediaan kemudahan kesihatan, sistem sokongan kepada anggota barisan hadapan, agihan ekonomi, kawalan sempadan, kelancaran pergerakan dan seumpamanya.  Semua ini di luar skop Akta 342. Jadi kita perlukan asas perundangan yang lebih komprehensif.

Selain itu, Akta 342 ini asalnya untuk menangani isu-isu pengawalan penyakit dalam skala kecil atau biasa seperti yang dilaksanakan selama ini untuk denggi, tibi, dan lain-lain. Wabak Covid-19 ni luar biasa. Ia perlu kepada cara yang berbeza dan lebih kukuh. Dan Perkara 150 iaitu pengisytiharan darurat memang patut digunakan. Dalam satu kes mahkamah iaitu kes Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia, mahkamah tertinggi waktu itu iaitu Majlis Privi buat keputusan bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membolehkan darurat diisytiharkan dalam skop situasi yang luas iaitu termasuklah perkara-perkara seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, banjir dan jangkitan penyakit. Jadi ini bukan satu yang ganjil.

Tambahan pula Akta 342 ini meletakkan semua kuasa pada Menteri Kesihatan. Seolah-olah tugas untuk atasi Covid-19 ini hanya atas bahu Menteri Kesihatan sahaja. Semua agensi lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kuasa melalui Menteri Kesihatan. Ini pelik dan janggal. Dalam MKN ada Perdana Menteri dan Menteri-menteri. Arahan-rahan berkaitan SOP dan lain-lainnya datang dari kenyataan Perdana Menteri atau Menteri Kanan Keselamatan. Jadi, kalau ikut amalan sekarang semua arahan yang dibuat bawah Akta 342 ini berpunca dari Menteri Kesihatan dan ‘diturunkan’ kepada Perdana Menteri atau Menteri Kanan. Ini memang janggal. Sebagai langkah sementara kita boleh terima, tapi tidak boleh berterusan begini. Jadi darurat adalah jalan keluar terbaik.

SOALAN: Ada juga kedengaran ura-ura bahawa Dewan Rakyat akan digantung. Mengambil kira situasi politik semasa, dengan kerajaan PN dan PM sentiasa diganggu dengan isu2 politik, mungkin darurat atau progrog langkah yang wajar?

JAWAPAN: Isu ini juga penting. Kita semua tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah antata faktor yang menyumbang kepada lonjakan kes Covid-19 di Sabah. Keadaan di Sabah amat dahsyat dan menyedihkan. Jadi, kerajaan perlu bertindak segera. Jika diikutkan, selepas ini perlu ada pula Pilihan Raya Kecil Batu Sapi. Selepas itu, Sarawak pula perlu adakan Pilihan Raya Negeri. Memang masih ada beberapa bulan, tapi pembubaran DUN boleh dibuat bila-bila masa sahaja.

Selepas itu, berlaku pula pergolakan politik. Ada yang mendakwa cukup sokongan. Tapi buat masa ini belum ada bukti yang konkrit. Cuma ada nombor. Tapi rakyat rasa cemas. Ini kerana dengan situasi yang ada kini ada kemungkinan berlaku ‘Parlimen tergantung’ atau ‘hung Parliament’. Apa maksud hung Parliament? Ia berlaku contohnya bila Perdana Menteri kini, Tan Sri Muhyidin hilang sokongan dan hanya tinggal sebanyak 108 sokongan sahaja, dan Dato Seri Anwar hanya mendapat 93 sokongan, manakala baki seramai 21 orang memilih untuk berkecuali atau menyokong tokoh lain. Jika berlaku begini, memang perlu diadakan PRU. Ini yang rakyat risaukan.

Jadi apa jaminan Pilihan Raya Umum dapat dielakkan dalam tempoh wabak Covid-19? Tidak ada jaminan. Mungkin kerana pertimbangan ini maka darurat dianggap sebagai jalan keluar. Saya percaya dalam konteks ini darurat bukannya membawa kecelaruan politik, tetapi dapat mengekalkan kestabilan politik agar tidak digugat selama mana kita belum menang dalam menangani wabak Covid-19.

Cuma dalam hal ini, saya mencadangkan agar penentuan sama ada perlu menggantung parlimen dan menangguhkan pilihan raya atau tidak, tidak diberikan kepada orang politik. Saya nak cadangkan satu Majlis Penilai di bawah Yang Di-Pertuan Agung yang diwujudkan melalui Ordinan Darurat yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara dan disertai oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan sama ada Parlimen dan Pilihan Raya perlu digantung atau tidak. Biar keputusan ini bebas pengaruh politik.

SOALAN: Boleh Dr perjelaskan apa akan berlaku jika darurat diisytihar. Bagaimana dengan pentadbiran  kerajaan, adakah masih ada kerajaan atau perlu ada satu majlis khas seperti MAGERAN ditubuhkan?

JAWAPAN: Memang ada juga yang menganggap bahawa Proklamasi Darurat Covid-19 akan menyebabkan negara berada di bawah pemerintahan MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara seperti yang berlaku selepas peristiwa 13 Mei 1969. Persepsi ini juga menambahkan ketakutan kepada Proklamasi Darurat Covid-19. Istilah MAGERAN atau seumpamanya tidak wujud dalam Perkara 150. Ia ditubuhkan bagi membantu Pengarah Gerakan Negara yang diberi kuasa oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kuasa-kuasa perlu dalam tempoh darurat.

Soalnya apa perlunya MAGERAN pada hari ini, sedangkan kita sudah ada MKN? MKN ditubuhkan pada bulan Julai 1971 setelah MAGERAN dibubarkan pada tahun yang sama. MKN diberi peranan untuk menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah ordinan-ordinan Darurat dan perintah-perintah di bawahnya. Pada tahun 1979, fungsi dan punca kuasa MKN kemudiannya dikemaskini melalui Arahan MKN No. 1 yang bersandarkan kepada Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979. Kedudukan ini berkekalan sehingga darurat ditamatkan secara rasmi dan akta ini dimansuhkan pada 21 Jun 2012. Pada hari ini MKN melaksanakan kuasanya secara lebih jelas dan tersusun melalui akta khusus iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776).

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa darurat yang diisytiharkan pada tahun 1969 berkuatkuasa secara rasmi dalam tempoh 43 tahun sehingga ia ditamatkan secara rasmi pada tahun 2012. Dalam tempoh berkenaan beberapa ordinan darurat dikekalkan dan digunakan oleh kerajaan dalam pendakwaan dan pentadbiran. Hakikat ini membuktikan bahawa kedudukan negara dalam keadaan darurat bukanlah satu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi dan perlindungan hak asasi rakyat. Oleh yang demikian, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak perlu menjadi satu polemik atau ketakutan kepada rakyat Malaysia.

SOALAN: Bagaimana pula jika Dewan Rakyat digantung atau prorog? Bagaimana dengan kerajaan dan pentadbiran perkhidmatan awam. Bolehkan Belanjawan dibentang dan diluluskan?

JAWAPAN: Jika berlaku penggantungan Parlimen, ia tidak menjejaskan perjalanan biasa perkhidmatan kerajaan. Badan legislatif dan badan eksekutif adalah berasingan. Cuma dalam hal ini saya lebih cenderung untuk mengekalkan aspek ‘semak dan imbang’ dalam negara.

Maksudnya, jangan matikan fungsi Parlimen. Kekalkan tetapi melalui mekanisme yang sesuai berdasarkan situasi wabak. Jika selamat berkumpul adakan sidang seperti biasa, tetapi jika kurang selamat, boleh laksanakan sidang dengan cara lain seperti secara online. Dalam keadaan biasa memang undang-undang tidak benarkan sidang secara atas talian. Tapi, jika diisytihar darurat, undang-undang tidak menjadi penghalang kerana ia boleh dilaksanakan melalui ordinan darurat.

Dalam hal belanjawan pula mulakan dengan proses biasa dahulu iaitu bentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Benarkan ahli-ahli Parlimen bahas. Itu tanggungjawab mereka. Suara ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang amat penting untuk menambahbaik dasar dan keputusan kerajaan. Jika belanjawan tidak melepasi undian dalam sidang parlimen, barulah guna Ordinan Darurat. Kita tidak mahu kerajaan yang memerintah dalam tempoh ini terlepas dari proses ‘semak dan imbang’.

Waktu darurat 1969 dahulu kerajaan pernah meluluskan belanjawan melalui ordinan darurat iaitu Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 No. 3 (P.U. (A) 170/1969. Ordinan ini untuk belanjawan tahun 1970. Jadi ia sesuatu yang pernah dilaksanakan. Belanjawan ini perkara asas. Kerajaan perlu ada kelulusan yang sah untuk berbelanja. Kalau belanjawan tidak diluluskan bermakna kerajaan tidak dapat beroperasi secara sah bermula 1 Januari 2021. Ia dipanggil ‘government shutdown’. Ia sesuatu yang dahsyat dan tak dapat dibayangkan jika berlaku di Malaysia.

SOALAN: Perkataan darurat mengundang rasa bimbang rakyat kerana ada menganggap ia bermakna perintah berkurung dalam rumah, contohnya curfew dari jam 7 petang hingga 7 pagi. Boleh Dr perjelasan dalam konteks darurat berkaitan kesihatan.

JAWAPAN: Ini satu persepsi yang salah. Darurat bukan bermakna perintah berkurung dari jam sekian hingga jam sekian. Tidak ada dalam perlembagaan yang mengaitkan darurat dengan perintah berkurung.

Persepsi ini berlaku kerana pengalaman silam. Memang darurat yang sebelum ini iaitu darurat keganasan komunis 1948 yang berpanjangan sehingga selepas merdeka, darurat perisitwa Ganyang Malaysia 1964, dan peristiwa 13 Mei 1969 berkaitan dengan keselamatan. Waktu itu memang perlu perintah berkurung. Keperluan itu wujud bukan kerana perintah darurat, tetapi kerana situasi yang tegang dan tidak selamat. Perintah berkurung adalah mekanisme untuk menguatkuasakannya agar nyawa rakyat terjaga.

Mungkin juga ramai yang tidak sedar bahawa tanpa pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 pun, kita sebenarnya terpaksa berkurung. Jika tiada PKP sekali pun, ramai yang memilih untuk berkurung di rumah. Keluar jika ada keperluan sahaja. Jadi tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Jika diisytiharkan darurat arahan dan peraturan seperti PKP dapat diselaraskan melalui kuasa darurat.

SOALAN: Apa bezanya dengan darurat susulan tragedi 13 Mei 1969?

JAWAPAN: Jauh berbeza. Peristiwa 13 Mei melibatkan rusuhan kaum. Wujud prejudis mendalam antara kaum berbeza. Berlaku ancaman nyawa berbentuk pembunuhan dan keganasan. Negara tidak aman. Waktu ini pihak di barisan hadapan ialah tentera dan polis. Semua ini tidak berlaku kali ini.

Ancaman kita adalah wabak Covid-19. Musuh yang kita tidak nampak. Pasukan barisan hadapan adalah petugas kesihatan. Tapi semua rakyat sebenarnya berperanan besar untuk memutuskan rantaian jangkitan. Ini peperangan hari ini.

Jadi tidak perlulah dibayangkan, jika diisytiharkan darurat, tentera dan polis akan meronda di sana sini dan sekatan jalan di mana-mana. Penguatkuasaan pergerakan akan dibuat ikut keperluan, sebagaimana yang berjalan sekarang.

SOALAN: Jika benar darurat atau progrog dibuat, apa kesannya kepada negara dan rakyat, apa pro dan kon kesan pelaksanaannya nanti?

JAWAPAN: Dari sudut pengurusan mengendalikan Covid-19, darurat ini hanyalah satu mekanisme pentadbiran yang lebih jelas dari sudut undang-undang perlembagaan, bukannya satu bentuk pendekatan baru yang mengubah strategi kerajaan menghadapi wabak. Darurat menjadikan tindakan kerajaan dapat dilaksanakan menggunakan saluran perundangan yang lebih kukuh dan skop kuasa yang lebih luas berbanding mekanisme sedia ada di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Bila jentera kerajaan semakin cekap, maka proses pengawalan penyakit dan langkah-langkah sokongan akan berjalan dengan lebih baik.

Namun dalam masa yang sama rakyat tetap perlu bebas memberikan pandangan dan kritikan membina. Pembangkang perlu diberi ruang untuk memberikan pandangan berbeza. Ruang yang wajar perlu diberikan selagi tidak menjejaskan usaha menangani wabak Covid-19. Rakyat perlu sentiasa peka agar darurat tidak disalahguna untuk politik peribadi dan kepartian.  

SOALAN: Melihat kepada perkembangan politik dan kesihatan semasa, apa harapan Dr?

JAWAPAN: Kita mengharapkan agar ahli politik mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan politik. Tidak kira di pihak mana sama ada kerajaan atau pembangkang, semua pihak perlu mengenepikan sementara persaingan politik bagi memberikan fokus kepada usaha mengatasi Covid-19. Kita berdoa moga Allah segera melepaskan negara kita dan seluruh dunia dari ujian berat  wabak yang luar biasa ini. InsyaAllah jika semua bersatu hati dan mengambil sikap bertenang serta berwaspada, kita dapat memenangi peperangan ini.

SOAL JAWAB BERITA HARIAN: ‘DARURAT TAK CETUS KECELARUAN POLITIK’

Dr Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik (Undang-Undang Dan Perlembangaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

(BH: 25 Oktober 2020. Halaman 12-13)

Please follow and like us:
Total Page Visits: 73 - Today Page Visits: 3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *