March 5, 2021

DARURAT DEMI SELAMATKAN RAKYAT

Minda Presiden PAS

Firman Allah SWT:

﴿أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ٢٤٣﴾

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) kerana takut mati; maka Allah berfirman kepada mereka: ‘Matilah kamu’, kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai kurniaan terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah 243)

Al-Quran, Kalam Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana meriwayatkan kisah yang benar pada zaman dahulu, berkenaan golongan Bani Israel yang paling degil dan dimurkai oleh Allah SWT.

Tindakan mereka yang tidak mengendahkan arahan Rasul dan pemimpin yang mengarahkan supaya berkuarantin dengan tidak meninggalkan kawasan yang ditimpa wabak taun. Mereka dilarang keluar supaya tidak merebak kepada orang lain.

Ayat al-Quran ini ditafsirkan oleh sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ‏، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ.

“Apabila kalian mendengar berlakunya wabak di sesebuah negeri, maka janganlah kalian pergi menuju ke sana dan apabila kamu berada dalam negeri yang berlaku wabak itu jangan kalian keluar melarikan diri dari kawasan tersebut.” (Riwayat al-Bukhari 5729 dan Muslim 2219)

Khalifah ‘Umar al-Khattab RA menghargai ‘Amru bin al-‘Aas RA yang dilantik menjadi wali untuk mentadbir wilayah Syam kerana berjaya menyelesaikan wabak yang mengorbankan ramai mangsa.

‘Amru bin al-‘As RA mengarahkan perintah wajib kuarantin penempatan, pemindahan dan larangan perjalanan tanpa mempedulikan terhadap mereka yang tidak mengerti. Tindakan yang tegas itu berjaya mengatasi penularan wabak taun.

Manusia yang diberikan akal kebijaksanaan oleh Allah SWT diuji untuk mentadbir bumi dengan baik dalam suasana realiti masyarakat majmuk dan makhluk-Nya yang pelbagai.

Islam menetapkan hukum berasaskan konsep Maqasid al-Syariah, Usul Fiqh dan Siyasah Syari’yyah dalam perkara yang tidak mempunyai nas, demi menjaga rukun hidup yang terpenting. Antaranya ialah memelihara nyawa manusia yang merupakan ni’mat Allah SWT yang sangat bernilai dan paling mahal harganya. Ia wajib dipelihara dan dipertahankan.

Sehingga Allah SWT menghalalkan hukum yang diharamkan apabila berlaku sesuatu bencana yang menjadi ancaman kepada nyawa manusia, berpandukan firman-Nya:

﴿إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٧٣﴾

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagi kamu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebutkan (nama) selain Allah. Tetapi sesiapa yang berada dalam keadaan darurat (terpaksa memakannya) sedangkan dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah: 173)

Berdasarkan konsep yang ditunjukkan dalam ayat ini, para ulama’ menetapkan kewajipan memelihara nyawa dalam Maqasid al-Syariah. Kaedah yang terkenal dalam Usul Fiqh:

الضرورات تبيح المحظورات.

“Keadaan darurat mengharuskan perkara yang diharamkan.”

والضرورة تقدر بقدرها.

“Darurat itu ditetapkan kadarnya (dihadkan sempadannya) dengan kadar yang diperlukan.”

Kaedah ini menjadi konsep Siyasah Syar’iyyah yang diamalkan dalam mengurus sebarang isu yang berlaku dalam aspek kehidupan individu, terutamanya dalam aspek masyarakat umum yang lebih besar skopnya.

Seluruh dunia hari ini dilanda wabak COVID-19 yang merebak dengan ganas di seluruh dunia, tanpa penemuan vaksin pencegahan yang berkesan dan ubat yang mujarab sepenuhnya.

Sehingga kini sudah beberapa negara mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad. Malaysia juga berada di alam muka bumi yang sama dengan masyarakat kemanusiaan yang besar, maka kewaspadaan dan tindakan yang sama perlu diambil.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil langkah seawal berlakunya wabak ini seperti di negara-negara lain dan berjaya mengawal penularannya dengan kadar yang terhad. Namun, ia masih lagi belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya.

Maka langkah seterusnya wajib diambil secara proaktif, sama ada tindakan menghadapi cabaran pencegahan dalam negara sendiri, atau ancaman wabak yang datang daripada luar, khususnya pendatang tanpa izin yang susah dikawal dengan undang-undang dan peraturan biasa.

Sehingga kini, wabak COVID-19 sudah menjadi ancaman terhadap pasukan barisan hadapan yang telah didapati positif. Mereka terdiri daripada pasukan keselamatan, kesihatan dan pentadbiran, bukan sahaja rakyat awam biasa.

Penularan yang berlaku berpunca daripada pelbagai sebab yang mewajibkan kerajaan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang membahayakan. Keadaan semasa yang belum terkawal juga memerlukan tindakan yang luar biasa bagi menangani wabak ini sepenuhnya.

Cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda telah melakukan budi bicara melalui musyawarah Majlis Raja-Raja pada peringkat awal. Lalu Baginda telah mengambil keputusan yang tidak gopoh dengan memberikan tempoh supaya pihak kerajaan mengambil peluang melaksanakan langkah penyelesaian tanpa darurat, sekiranya dapat diatasi.

Baginda menegaskan beberapa syarat dan pendekatan, sehingga dilarang berpolitiking dalam mengatasi penularan wabak tetapi tindakan itu sangat menganggu urusan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Ada kalangan mereka yang menganggapnya tidak berbahaya, sehingga dianggap masih boleh diatasi dengan teori-teori tanpa praktikal, seolah-olah tidak berada di planet bumi yang sedang diancam wabak. Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan.

Ada juga yang masih berpolitiking sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera. Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi. Ada juga yang telah tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut.

Sebahagian lain pula tanpa sedar sudah hampir tenggelam bahtera mereka. Sehingga ada yang menghantar nama kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan tandatangan tanpa angka, laksana menyerahkan cek kosong supaya Tuanku meletakkan berapa jumlahnya.

Jangan menangis jangan meratap,
Letak surat ke dalam sampul,
Tidak mampu nak tebuk atap,
Jangan marah pahatnya tumpul.

Kami menganggap mereka sudah lupa kepada Sunnah Rasulullah SAW yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.

Darurat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan. Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitiking, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya.

Malangnya, mereka lebih menghayati ‘sunnah’ Presiden Donald Trump yang berpolitiking tanpa mempedulikan wabak yang sedang melanda Amerika Syarikat dengan marak. Sehingga telah mengorbankan angka kematian dengan jumlah yang sangat besar dan membimbangkan mereka yang insaf demi keselamatan rakyat.

Isu keselamatan rakyat amat wajar diutamakan, bukannya kepentingan politik kelompok atau individu tertentu.

Tempoh darurat telah ditentukan tempoh masa dan sempadan yang sangat terhad sehingga penyelesaian wabak dapat dicapai. Darurat tidak menghalang pergerakan untuk menjalani kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

Seterusnya dicadangkan urusan pentadbiran berjalan dengan persediaan menubuhkan anggota yang memantau melalui penglibatan semua pihak tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik.

Darurat adalah kawalan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu, bukan selama-lamanya.

Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA menegaskan satu konsep siyasah syari’yyah yang berikut:

إِنَّ اللهَ لَيَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya Allah mengizinkan pihak yang berkuasa memerintah untuk melaksanakan apa yang tidak diperintahkan oleh al-Quran.” (Ibn al-Athir dalam al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, jld. 5, ms. 180)

Maka Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah menyanjung tinggi tindakan darurat yang diambil oleh wali Syam iaitu ‘Amru bin al-‘As RA yang tidak mempedulikan sikap orang jahil yang mengatakan dirinya bodoh kerana mengambil tindakan tersebut.

Berpeganglah kepada firman Allah SWT:

﴿وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا٦٣﴾

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata kata yang tidak munasabah), mereka mengucapkan kata-kata selamat sejahtera (yang mengandung keselamatan).” (Surah al-Furqan: 63)

Rakyat wajib diselamatkan terlebih dahulu tanpa mempedulikan apa jua perkara yang lain.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 29 Jumadal Ula 1441 / 13 Januari 2021

Please follow and like us:
Total Page Visits: 137 - Today Page Visits: 1