April 22, 2021

Cerita Politik Laku. Tapi Pendidikan…

  • Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
  • 11 Februari 2021, 9:00 am

MUKADIMAH

Sistem pendidikan turut menimbulkan kerisauan pelbagai pihak ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Ia masih perlu dibaiki dan sudah tentu memerlukan usaha banyak pihak tanpa mengira fahaman politik.

Tindakan pantas dalam mencari penyelesaian memainkan peranan penting bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak runtuh.

Bagi bekas Menteri Pendidikan, DR. MASZLEE MALIK, isu politik bukan lagi satu keutamaan baginya tetapi terus dengan jihadnya untuk membantu memperjuangkan pendidikan negara.

Dalam sesi temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN menerusi Google Meet, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkongsi pandangan berhubung isu dalam struktur pendidikan tanah air termasuk pelancaran platform baharu pembelajaran secara dalam talian, Sophia.my.

UTUSAN: Bagaimana wujud idea perkenal aplikasi Sophia.my?
MASZLEE: Saya mendapat idea untuk mewujudkan aplikasi ini daripada Netflix yang mengumpulkan ribuan filem dan rancangan televisyen. Daripada situ saya fikir, mengapa tidak kita wujud satu aplikasi yang boleh mengumpulkan pelbagai bahan melibatkan semua standard pendidikan dalam negara?

Saya rasa usaha ini adalah hasrat dan pemikiran banyak pihak terutama ibu bapa dan guru. Malah sebelum ini juga banyak inisiatif yang diambil sendiri oleh mereka. Ini adalah penambahbaikan daripada apa yang mereka telah lakukan.

Jika dahulu, warga pendidik menyediakan rujukan bahan pembelajaran melalui YouTube dan sebagainya tetapi memerlukan banyak pautan. Dengan Sophia.my, ia lebih mudah kerana dalam aplikasi ini sahaja, guru dan ibu bapa boleh mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Kita tidak menghasilkan kandungannya. Semua bahan daripada warga pendidik yang mana kita kumpulkan serta senaraikan mengikut kategori dan tahap pembelajaran.

Inisiatif lain diambil Yang Berhormat (YB) dan pasukan?
Turut menjadi keutamaan kita adalah melindungi kesihatan mental murid, warga pendidik dan golongan siswa.

Oleh itu, kita ambil inisiatif dengan program Bangkit yang mana kami menawarkan sesi kaunseling dan nasihat secara dalam talian kepada golongan tersebut.

Kita perlukan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan kaunselor terlatih atau kaunselor yang mempunyai pengalaman untuk menyertai kita supaya kita dapat membantu ramai murid, guru dan siswa yang menghadapi tekanan pada masa ini.

Buat masa sekarang, ramai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengadu pelbagai perkara yang mereka hadapi. Setiap aduan mereka kita bawa kepada Kementerian Pendidikan.

Apa yang kita boleh tawarkan adalah Bangkit, iaitu untuk mereka mendapatkan kaunseling serta nasihat secara dalam talian.

Tarikh peperiksaan sering berubah jadi punca tekanan pelajar ini?
Saya tidak boleh beri komen kerana saya tidak bersama-sama kaunselor yang mendengar masalah anak-anak ini. Cuma bagi saya, kita cuba mencari beberapa penyelesaian yang dalam bidang kuasa saya. Tindakan seperti untuk menetapkan tarikh peperiksaan dan sebagainya, itu adalah kuasa Kementerian Pendidikan.

Ini semua adalah usaha daripada pasukan saya untuk terus menghidupkan slogan Dari Rakyat Kepada Rakyat.

YB terbuka untuk berkongsi idea dengan Kementerian Pendidikan?
Sudah pasti saya amat terbuka untuk berbincang dan berkongsi buah fikiran dengan pihak kementerian demi masa depan anak-anak kita serta negara kita.

Adakah tadbir urus Kementerian Pendidikan perlu pembaharuan?
Saya rasa saya selalu sebut benda ini sama ada dalam media mahupun Parlimen. Perkara pertama yang perlu diadakan adalah proses lipat urus yang menyeluruh kerana isu pendidikan adalah kecaknaan semua pihak dan kita tahu pemegang taruh dalam pendidikan ini luas.

Kita tidak boleh menafikan proses lipat urus perlu melibatkan seramai mungkin pemegang taruh tersebut.

Sebab itu yang saya cadangkan dalam sidang Parlimen yang lalu, penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan perlu melibatkan lebih ramai individu yang boleh memberikan sumbang saran mereka.

Jika bergantung pada kementerian sahaja, ia hanya terkongkong pada satu bentuk pemikiran itu. Contoh, jika saya menterinya, cadangan hanya daripada saya.

Kita memerlukan lebih ramai supaya proses perbincangan dan sebarang keputusan yang diambil lebih positif dan produktif.

Kementerian Pendidikan tidak responsif, pelajar dan guru cari YB. Komen?
Cadangan saya kepada pihak kementerian sudah tentu menasihati mereka supaya menjadi lebih responsif. Ketika saya masih di kementerian dahulu, kita mempunyai polisi yang mana segala keluh kesah, aduan dan pertanyaan harus diberi maklum balas dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Untuk sekarang, mungkin ada dalam kalangan mereka memerlukan jawapan ataupun panduan daripada menteri sendiri. Oleh itu, saya menasihati menteri supaya tambil ke hadapan memberikan panduan sama ada di media sosial ataupun media rasmi kementerian.

Pesan saya juga, jangan hanya muncul untuk pengumuman buka atau tutup sekolah saja.

YB sedia meneraju Kementerian Pendidikan sekali lagi?
Pada waktu ini, saya rasa kita tidak boleh menentukan masa depan politik, ekonomi dan pendidikan. Saya sering meminta supaya dibentangkan master plan apa yang kita ingin lakukan pasca pandemik Covid-19.

Buat masa ini, kementerian juga belum lagi meminta bantuan daripada saya dan sebagainya. Jadi, saya mahu bersama dengan rakyat dan bersama dengan sukarelawan untuk memberikan sokongan sepenuhnya terhadap apa yang kita boleh lakukan. Sebagai contoh, mewujudkan aplikasi Sophia.my.

Komen YB tentang politik?
Saya rasa sudah ramai pemimpin memberikan komen mengenai isu ini. Saya rasa lebih baik saya terus fokus isu pendidikan kerana kalau diperhatikan, seolah-olah tiada siapa ambil kisah tentang keperluan pendidikan ketika ini.

Lebih sedih apabila usaha menghantar ciapan atau posting di media sosial jarang mendapat perhatian. Namun, apabila bercerita mengenai politik, ia laku seperti pisang goreng panas. Jadi, lebih baik saya teruskan usaha memperjuangkan isu pendidikan.

Kita semua harus sedar, pendidikan untuk anak-anak kita hari ini akan membentuk masa depan negara.

Dietik dari : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/02/cerita-politik-laku-tapi-pendidikan/

Please follow and like us:
Total Page Visits: 176 - Today Page Visits: 2