March 5, 2021

Keistimewaan Bulan Rejab

  • Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
  • 12 Februari 2021, 9:00 am

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Esok umat Islam akan menyambut bulan Rejab, insya-Allah. Bulan Rejab termasuk salah satu bulan yang mulia. Ia juga termasuk dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…. (al-Taubah: 36).

Empat bulan Haram yang dihormati itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Rejab juga dikenali sebagai bulan haram iaitu dilarang berperang.ni kerana pada bulan Zulkaedah umat Islam dalam perjalanan mengerjakan ibadah haji dan bulan Zulhijjah pula umat Islam menunaikan ibadat haji.

Pada bulan Muharam pula, umat Islam kembali daripada menunaikan ibadah haji dan dalam bulan Rejab ramai umat Islam melaksanakan ibadah umrah. Malangnya, ibadat sunat ini kini terhalang disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum nampak penamatnya.

Ibnu Katsir dalam Tafsir Al-Azim menjelaskan Rejab berasal daripada tarjib yang bermaksud menghormati. Antara faktor mulianya bulan ini adalah peristiwa penting Israk dan Mikraj Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjid Aqsa di Palestin. Seterusnya baginda diangkat ke langit untuk menerima perintah solat fardu lima waktu sehari semalam.
Mengenai tarikh Israk dan Mikraj, ulama berselisih pendapat mengenainya iaitu:

* Setahun sebelum hijrah: Inilah pendapat Ibn Mas’ud, al-Zuhri, Urwah bin al-Zubair, Ibn Sa’d dan Ibn Hazmin mendakwa ini adalah ijmak. Inilah yang dijazamkan oleh Imam al-Nawawi.
* Berlaku pada tahun Nabi SAW diangkat menjadi nabi: Inilah pendapat al-Tabari.
* Dua tahun sebelum hijrah.
* Tiga tahun sebelum hijrah: Inilah pandangan Ibn al-Athir.
* Setepatnya berlaku 27 Rejab tahun ke-10 kenabian. Inilah pendapat al-Allamah Mansurfuri. (Al-Kafi li al-Fatawi #728: Bilakah Berlaku Israk Mikraj)

Dalam hidup, kita biasa menyambut hari lahir insan tersayang baik isteri, suami, ibu, ayah dan juga anak-anak.

Pelbagai program dirancang untuk meraikannya sama ada secara besar-besaran atau sederhana mengikut kemampuan masing-masing. Paling tidak pun, ibu bapa akan potong sebiji kek meraikan hari lahir anak tersayang.

Jika demikian manifestasi manusia menyambut ulang tahun kelahiran insan tersayang dan yang penting dalam hidup, sepatutnya ‘sambutan’ ke atas bulan kefarduan solat fardu ini lebih lagi kita raikan.

Ini kerana, ibadat solat amat istimewa di mana ia disampaikan terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW tanpa perantaraan malaikat Jibril di Sidratul Muntaha. Ini membuktikan solat itu berada pada kedudukan paling tinggi berbanding ibadat lain.

Inilah juga yang menjadi tujuan utama kita hidup di muka bumi sebagaimana yang dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku. (Az-Dzariyat: 56)

‘Meraikan’ bulan Rejab ini bermaksud hendaklah kita memperkukuh iktikad dan tauhid bahawa hanya Allah yang layak disembah. Dalam masa yang sama menafikan penyembahan selain Allah.
Untuk itu, selain menunaikan kewajipan solat fardu hendaklah kita sentiasa memperbaiki kualiti solat masing-masing. Antaranya, memahami maksud ayat-ayat al-Quran dan bacaan-bacaan dalam solat, memperbaiki tatacara solat dan tunaikan solat secara berjemaah terutama bagi para muslimin.

Seperkara lagi, sentiasa tunaikan solat di awal waktu. Baginda SAW pernah ditanya: Amalan apakah yang paling utama? Nabi SAW menjawab: Solat pada awal waktu. (Riwayat Tirmidzi)
Sementelah kedatangan Rejab bermakna kita semakin menghampiri Ramadan, Nabi SAW mengajarkan kita akan doa memohon di panjang usia sehingga bertemu Ramadan. Ia sebagaimana doa Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”.

Memang tidak ada ibadat khusus dalam bulan Rejab. Namun kita boleh mempertingkatkan amalan sebagai persediaan bertemu Ramadan. Jadikan ia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) peribadi.

Antara ibadat yang digalakkan adalah puasa sunat. Amalan ini adalah sunnah Nabi SAW. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab; “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Perbanyakkan solat sunat. Ada banyak solat sunat yang digalakkan untuk diamalkan. Antaranya mendirikan solat sunat tahajud, duha, hajat, witir dan sebagainya. Lakukanlah solat sunat ini dengan niat menambah keimanan kepada Allah SWT.

Membaca al-Quran. Banyakkan membaca dan mentadabbur al-Quran adalah amalan golongan soleh dalam mengisi bulan Rejab sehinggalah tibanya bulan Ramadan, bulan diturunkan al-Quran. Dengan membaca al-Quran juga dapat meneguhkan jiwa dan keimanan seseorang hamba kepada Allah.

Satu lagi peristiwa dalam bulan Rejab ialah lahirnya Imam As-Syafie. Kelahiran Imam As-Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam.

Beliau adalah salah seorang daripada Imam Mazhab yang empat dan negara kita antara yang mengamalkan mazhab As-Syafie.

Kehebatan beliau dalam dunia ilmu agama dikagumi oleh semua orang. Malah, Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Imam As-Syafie itu ibarat matahari bagi dunia.

Dipetik dar : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/02/keistimewaan-bulan-rejab/

Please follow and like us:
Total Page Visits: 50 - Today Page Visits: 2