March 5, 2021

Kunci Rezeki & Keberkatan

BERTAMBAHNYA rezeki seseorang bergantung juga kepada hubungannya sesama manusia.Oleh Datuk Dr Luqman Abdullah

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) baru-baru ini ada menerima pertanyaan berhubung kenyataan individu yang menyatakan bahawa ‘rezeki suami datang daripada reda isteri’ dan pertanyaan adakah ucapan itu benar atau sebaliknya.

 BERTAMBAHNYA rezeki seseorang bergantung juga kepada hubungannya sesama manusia.

Pada asasnya, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki-Nya  dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi sekiranya tidak diizinkan oleh-Nya.  

Ucapan rezeki suami atau lelaki datang daripada  reda isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul. Daripada satu sudut, tidak dapat dinafikan pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.

Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabab. Ia juga sebagai satu motivasi agar suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Adapun rezeki suami atau lelaki bukan terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadis yang sahih. 

Perkara asas akidah yang wajib diketahui adalah Allah SWT adalah pemilik sebenar rezeki. Tidak ada yang boleh memberi atau menahan rezeki melainkan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud:  “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): ‘Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?’ Terangkanlah jawabnya: ‘Ialah Allah…'” (Surah Saba’, ayat 24)

Imam Fakhruddin Al-Razi apabila menafsirkan ayat 24 daripada surah Saba’, beliau menyebut: “(Ayat berkenaan) memberikan isyarat bahawa tiada manfaat melainkan dengan izin Allah dan ia datang daripada Allah.” (Al-Razi, Muhammad Bin Umar Bin Hasan,  Mafatih Al-Ghaib, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi)

Setiap makhluk yang hidup termasuk haiwan, Allah sudah menetapkan rezekinya. Allah SWT berfirman bermaksud : “Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 10)

Ayat ini menjelaskan tiada satu pun makhluk yang diberikan kehidupan oleh Allah, kemudian dibiarkan tanpa ada jaminan rezeki. Al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan:  “Allah SWT memberitahu bahawa Dia menjamin rezeki semua makhluk termasuk semua binatang. Yang kecil, besar, di laut mahupun
di darat.” (Tafsir Al-Quran Al-‘Azim)

Nabi Muhammad SAW juga pernah menjelaskan berkenaan kejadian manusia. Setelah menjelaskan peringkat kejadian manusia, Nabi SAW  bersabda:  “…Kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan agar ditulis empat kalimah. Dikatakan kepada Malaikat: Tulislah amalannya, rezekinya, ajalnya dan (pengakhirannya) sama ada duka atau gembira. Kemudian ditiupkan roh ke dalamnya…” (Hadis  Riwayat Muslim, no 2643)

Bahkan dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:  “Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Maidah, ayat 17)

Tidak mempercayai atau meragui Allah adalah pemilik rezeki sama sahaja seperti meragukan Allah adalah pencipta alam. Ayat-ayat yang disebutkan adalah sebahagian petunjuk dan dalil bahawa Allah SWT adalah pemilik mutlak rezeki, bukannya manusia. Allah penentu rezeki seseorang, bukannya manusia.

Tidak dapat dinafikan rezeki adalah sumber kehidupan. Allah SWT menyediakan rezeki sebagai sumber dan bekalan dalam kehidupan seharian manusia.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan,  ucapan seperti rezeki lelaki atau suami datang daripada reda isteri atau wanita adalah ucapan yang perlu diteliti. Tanpa penjelasan lanjut ia boleh menimbulkan salah faham. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabab. 

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan ditambah  hidupnya, maka sambunglah hubungan kekeluargaan.” (Hadis  Riwayat Al-Bukhari, no 5986 dan Muslim, no 2557)

Apa sahaja perkara yang dilakukan yang boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan boleh menyebabkan rezeki seseorang itu sempit. Termasuklah sifat bakhil atau kedekut dengan ahli keluarga.

Namun,  isteri juga perlu rasional agar tidak meminta sesuatu yang berada di luar kemampuan suami.

Banyak juga cara lain untuk memperoleh dan ditambah rezeki. Antaranya beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah. Dosa dan maksiat adalah antara penghalang rezeki.

Allah SWT berfirman : “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).'” (Surah Nuh, ayat 11-12)

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis  Riwayat Abu Daud, no 1518, Ibn Majah, no 3819)

Imam Al-Syaukani menjelaskan ganti yang Allah berikan itu boleh jadi di dunia ataupun di akhirat.

Beliau menyatakan:  “Begitu juga ganti (Yang Allah janjikan) sama ada di dunia mahupun di akhirat.” (Al-Syaukani, Muhammad Bin Ali, Fath Al-Qadir, Dar Ibn Kathir)

Sheikh Tahir Bin ‘Asyur menjelaskan:  “Allah memberitahu suami dan isteri bahawa Dia menjanjikan orang yang bertakwa dan yang teguh berdiri di batasan yang Allah tetapkan, bahawa Allah akan memberikan mereka jalan keluar daripada setiap kesempitan yang mereka hadapi.” (Ibn ‘Asyur, Muhammad Tahir, Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid)

Justeru,  ucapan berkenaan  boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan.  Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungan dengan sesama manusia khususnya ahli keluarga. Berkelakuan baik dengan ahli keluarga termasuk isteri juga adalah faktor rezeki diluaskan.

Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabab. Kepada suami, jalankan tanggungjawab kepada isteri. Seorang suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah atau mencari harta, akan tetapi juga bertanggungjawab mendidik isteri dan keluarga agar menjadi keluarga yang diredai Allah. Inilah kunci sebenar keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT.  Wallahu’alam

Penulis Mufti Wilayah PersekutuanArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 8:27 AM

Dipetik dari : https://www.hmetro.com.my/addin/2021/02/673820/kunci-rezeki-keberkatan

Please follow and like us:
Total Page Visits: 17 - Today Page Visits: 2