March 5, 2021

SOP Ketat, Disiplin Lancarkan SPM

SOP Ketat, Disiplin Tinggi Lancarkan Peperiksaan SPM

Oleh Latifah Arifin – Februari 22, 2021 @ 6:13pm

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Semangat “Kita Jaga Kita” dapat dilihat melalui usaha guru, pelajar dan ibu bapa yang bertungkus lumus dan saling bekerjasama dalam memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Tinjauan BH di beberapa sekolah mendapati Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 dan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi bagi memastikan pengurusan pelajar yang sistematik serta mencegah penularan wabak COVID-19.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih, calon SPM hadir seawal jam 7 pagi dengan kebanyakannya tidak perlu diberitahu oleh guru yang bertugas untuk menjaga penjarakan fizikal, bahkan mereka segera mengimbas suhu badan dan mencuci tangan sebaik masuk ke sekolah.

Pelajar juga melakukan persiapan yang rapi termasuk bersedia dengan borang deklarasi saringan COVID-19 yang lengkap diisi untuk diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan.DISYORKAN UNTUK ANDA

Pelajar SMK Engku Husain, Nurul Zahirah Zaharudin, berkata walaupun berdepan cabaran besar sepanjang tahun lalu sehingga SPM terpaksa ditunda beberapa kali, pihak sekolah sangat komited dan sentiasa menjaga kebajikan pelajar.

“Ada banyak kemudahan yang guru sediakan. Bagi pelajar yang tidak pulang ke rumah sementara menunggu kertas peperiksaan pada sebelah petang, makan tengah hari dan tempat solat yang selesa turut disediakan.

“Guru juga selalu mengingatkan kami supaya patuh kepada SOP ditetapkan termasuk tidak lupa membawa dokumen penting iaitu borang deklarasi saringan COVID-19 dan slip peperiksaan setiap hari,” katanya.

Memandangkan lokasi sekolah berkenaan menjadi laluan utama pengguna jalan raya, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) turut turun padang bagi mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan pelajar terutama yang menaiki motosikal.

Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Engku Husain, M Saraswathy, berkata beliau mengambil inisiatif untuk membantu pengawal keselamatan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

“Keadaan lalu lintas di sini agak sibuk, jadi saya secara sukarela datang membantu pelajar yang melintas dari jalan besar kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH pada tengah hari selepas tamat kertas Bahasa Melayu Kertas 1 di SMK Saujana Impian mendapati ramai pelajar yang tinggal berhampiran sekolah mengambil peluang pulang ke rumah sementara menunggu sesi peperiksaan pada sebelah petang.

Seorang calon SPM sekolah berkenaan, R Dheevan, berkata walaupun SOP SPM kali ini lebih ketat, ada beberapa kelonggaran yang agak melegakan.

“Rumah saya amat hampir dengan sekolah, jadi apabila guru benarkan pulang seketika, sekurang-kurangnya dapat merehatkan minda dan makan di rumah.

“Saya juga elak untuk berkumpul di sekolah atau di luar kerana tidak mahu kesihatan terjejas sepanjang musim peperiksaan penting ini,” katanya.

Pelajar SMK Saujana Impian, Nurin Shahira Shahril Affendi, berkata SOP yang ketat tidak langsung membebankan kerana sudah biasa dengan garis panduan ketika mengikuti pengajian bersemuka di sekolah sebelum ini.

“Sejak tahun lalu, saya dan rakan-rakan lain sudah biasa dengan pelbagai SOP, seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal di semua tempat, termasuk dalam bilik darjah dan kantin.

“Jadi, ia langsung tidak menjadi masalah, bahkan saya lebih rasa selamat apabila sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial di antara guru dan rakan,” katanya.

Sementara itu, ibu bapa turut bersyukur kerana keprihatinan kerajaan bagi memastikan calon SPM 2020 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan terhindar daripada risiko COVID-19.

Bagi pekerja swasta, Ummi Ammarah Mohamed Norbek, guru sekolah anaknya banyak memainkan peranan dalam memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk tidak terlalu bimbang terhadap keselamatan anak di sekolah.

“Sebagai ibu, tentu saja saya risau anak terpaksa ke sekolah dalam keadaan kes COVID-19 makin tinggi.

“Namun, keprihatinan guru SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, yang sering memberi peringatan melalui kumpulan WhatsApp sekolah dan mengambil inisiatif mengadakan taklimat secara tidak langsung memberi keyakinan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Aziah Osman, berkata SOP yang dijalankan agak sama dengan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini, cuma kali ini setiap pelajar perlu mengisi borang deklarasi saringan COVID-19 bagi memantau tahap kesihatan harian mereka.

“Anak saya adalah calon persendirian di SMK Puchong Permai, sudah tentu dia diasingkan daripada pelajar sepenuh masa.

“Ini adalah garis panduan seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan setakat hari ini, semuanya lancar…cuma keadaan sedikit terganggu kerana waktu solat Zuhur masuk agak lewat, jadi pelajar yang pulang ke rumah kesuntukan masa untuk kembali ke sekolah ,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, turut memuji kelancaran dan tahap pematuhan yang tinggi terhadap semua SOP ditetapkan.

“Semuanya lancar dan pematuhan terhadap SOP pengurusan peperiksaan dan aspek keselamatan berada pada tahap yang baik.

“Tahniah diucapkan kepada Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan atas perancangan rapi bagi memastikan peperiksaan kali ini berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hari pertama SPM 2020, mereka menerima banyak respon positif dalam kalangan pengawas peperiksaan yang bertugas.

Dipeik dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/789055/sop-ketat-disiplin-tinggi-lancarkan-peperiksaan-spm

Please follow and like us:
Total Page Visits: 149 - Today Page Visits: 6