April 22, 2021

Saya Tekad Laksana Amanah Demi Rakyat, Negara

Mac 1, 2021 @ 11:00am

Soalan (S): Tan Sri mengambil alih teraju kepemimpinan ketika Malaysia berdepan keadaan sukar akibat COVID-19. Bagaimana Tan Sri membuat pilihan dari segi keutamaan dalam jentera pentadbiran negara?

Jawapan (J): Pertamanya, saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana genap setahun pentadbiran PN yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri. Sesuatu perkara yang memang saya tidak duga, tetapi ini semua takdir daripada Allah. Waktu saya mula-mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, kita tahu waktu itu kita berdepan dengan suatu situasi yang agak luar biasa, iaitu masalah pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Justeru, saya duduk di kerusi Perdana Menteri, tugas saya yang pertama tidak lain tidak bukan untuk memikirkan apa yang harus saya lakukan sebagai ketua kerajaan supaya nyawa rakyat Malaysia dapat terpelihara dalam keadaan ancaman wabak COVID-19 yang amat berbahaya. Jadi, tiap kali waktu dan masa yang saya ada, bersama dengan rakan dalam kerajaan, kami memikirkan soal pokok iaitu isu nyawa dan kehidupan. Oleh sebab itu, kita ambil tindakan cepat yang luar biasa, seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Siapa boleh duga kita kenakan PKP, tetapi disebabkan rakyat sedar bahaya yang melanda negara dan dunia, rakyat menerima baik saya kira, walaupun dalam keadaan yang tidak berapa faham apa PKP itu? Saya nyatakan, kalau kita tidak dapat hendak uruskan masalah COVID-19, kesan kepada negara cukup besar, terutama soal ekonomi. Ramai orang terjejas, tiada pengecualian sekali pun, kita di sini dan di luar sana, rakyat biasa, orang berada atau peniaga, pemilik warung, tidak terkecuali. Jadi, yang paling utama ialah bagaimana nak uruskan masalah COVID-19. Kita bentuk jawatankuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang hampir setiap hari.DISYORKAN UNTUK ANDA

Di belakang saya ini (bilik temu bual), ada skrin di mana kalau tidak di rumah, waktu saya kena kuarantin di sinilah saya bersidang atau di pejabat, sidang video dan sebagainya. Itu perkara paling utama, iaitu agenda untuk uruskan masalah COVID-19 dan rakyat yang terkena dengan kesan ekonomi buruk ini. Pada masa sama, Alhamdulillah pentadbiran kerajaan saya lihat berjalan seperti biasa, penjawat awam, saya ingin nyatakan rasa bangga kerana komited, mereka tahu apa yang dihadapi.

Selain itu, kita hendak lihat keselamatan negara kekal, jangan diancam. Bukan disebabkan wabak, tetapi ancaman dari dalam atau luar negara, jadi negara selamat. Saya lihat, perpaduan dalam kalangan rakyat juga tidak terjejas disebabkan masalah yang kita hadapi. Itu bagi saya perhatian yang utama saya berikan dari peringkat awal lagi, waktu saya mengambil teraju negara.

Terbuka, telus urus COVID-19

S: Menjengah hampir setahun, apa harapan Tan Sri dalam usaha menangani COVID-19 menerusi ketibaan vaksin?

J: Dari awal hingga hampir setahun, walaupun kita tidak bermula dengan pengalaman kerana tiada sejarah keadaan sebegini, tetapi setahun mengajar kita, kerajaan dan rakyat mengenai apa yang kita perlu kita lakukan untuk tangani masalah COVID-19. Alhamdulillah, walaupun kita kenakan pelbagai kawalan, prosedur operasi standard (SOP), tetapi langkah sebegitu dapat mengawal.

Kalau kita bandingkan negara lain, contoh United Kingdom (UK) yang mempunyai penduduk hampir dua kali ganda daripada Malaysia, tetapi kes sehari di UK hampir 40,000, berbanding di Malaysia paling tinggi 5,000 kes, biasanya sekitar 1,000 hingga 3,000 kes. Kes kematian, Malaysia paling rendah, berbanding UK atau negara lain.

Di sana, hampir berpuluh ribu meninggal, di sini hanya 1,000 lebih. Maka, ia paling utama bagi saya dan selepas setahun, dalam keadaan agak berubah-ubah, ada dua perkara penting yang saya hendak tegaskan mengenai masalah pengurusan COVID-19.

Pertama, kita sudah mengumpul banyak data, kes di mana, kluster dalam masyarakat, kita sudah tahu dan dilaporkan setiap hari. Ini kerana kita mengamalkan sikap terbuka dan telus, tiada yang kita lindungi atau sorok data sebab kita hendak beritahu rakyat apa kedudukan sebenar.

Kedua, pertimbangan kita berdasarkan sains, maksudnya mengapa kena buat sesuatu langkah itu? Mungkin umum ada yang faham, ada yang tidak faham, tetapi keputusan yang kita ambil sekarang, selepas setahun dilihat sudah agak lebih berkesan dalam menangani dan menguruskan masalah ini, malah penerimaan rakyat terhadap langkah ini dilihat baik secara majoriti. Ada juga mereka yang tidak mematuhi.

Sebab itu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bawah Kementerian Kesihatan (KKM) agak penting, di mana jika melakukan kesilapan, ada undang-undang yang dikuatkuasakan. Contoh, kena kompaun, itu juga sudah dibuat atau langkah lain seperti mengambil tindakan menutup kilang dan sebagainya. Kita lihat juga data dan kes, apa sebab ia (jangkitan) berlaku, contohnya tempat kerja atau kediaman pekerja. Jadi, kita tahu, bila kita buat satu keputusan, ia berdasarkan data dan fakta sains. Maka langkah seperti ini mula menunjukkan keberkesanan.

Peningkatan kes hanya berlaku di satu, dua tempat, contoh di kilang mencanak sehingga 1,000 kes tetapi tidak merebak keluar. Dari satu sudut, kita sudah agak berjaya untuk uruskan masalah COVID-19, selain melihat kesan ekonomi yang semua terkesan. Kita hendak imbang di antara COVID-19 dan ekonomi. Kalau tutup (perniagaan), ekonomi akan runtuh. Kalau buka pula, COVID-19 akan melanda, jadi bagaimana hendak seimbangkan? Kita bincang setiap hari, saya tidak pernah pengerusikan mesyuarat, sebagai Perdana Menteri, tiap-tiap hari bersidang.

Saya tidak fikir ada di dunia yang Perdana Menteri pengerusikan mesyuarat walaupun menteri hadir. Berpindah daripada mesyuarat MKN COVID-19 ke MKN Darurat dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk menguruskan masalah itu dan bincang cara untuk bantu rakyat seperti kita buat setakat.

S: Dari skala 1 hingga 5, skala mana Tan Sri berikan sebagai penilaian prestasi pentadbiran kerajaan PN. Apakah pencapaian paling dibanggakan Tan Sri dalam memimpin pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh setahun ini?

J: Saya tidak boleh katakan saya capai skala lima, nanti rakyat kata ‘alah’. Yang penting, rakyat buat penilaian, sama ada kerajaan ini sejak dari awal mentadbir negara sudah mengambil langkah yang perlu dan sesuai untuk menentukan supaya perkara utama yang perlu diberikan perhatian, tidak diabaikan. Kedua, ada kesan yang agak positif untuk rakyat, contoh soal COVID-19. Sampai sekarang, bagaimana (pengurusan)? Sudah ada vaksin, saya orang pertama yang terima vaksin. Kita alami masalah besar, bukan saja kita, dunia.

Bukan soal masalah hendak mengurus, (tetapi) apa penyelesaian? Mungkinkah vaksin ini akan menjadi jawapan kepada masalah kita? Harapan saya begitu. Ia pada saya satu kejayaan besar dan kita sudah laksanakan. Jangan tanya belanja untuk vaksin, berbilion ringgit dan saya tidak pernah persoalkan. Kalau minta RM1 bilion, saya bagi kerana ini nyawa rakyat, kalau rakyat mati seorang, bagi saya, ia kerugian besar kepada saya, saya hendak rakyat hidup.

Kalau di negara lain, memilih (kemasukan pesakit ke hospital) kerana tiada kapasiti, hospital, doktor dan ubat tidak mencukupi. Jadi, terpaksa ambil (pesakit) ini saja. Tetapi di Malaysia, setiap nyawa penting. Jadi, ditanya mana kedudukan kita? Bagi saya, agak baik. Kalau ada yang kata Abah ini terbaik, tidak mengapalah. Itu rakyat yang buat penilaian, tetapi yang penting, apa kerajaan buat? Bagi saya, tiada sesuatu yang tertinggal dan tercicir.

Biar rakyat rasa, biarpun dia seorang individu, berniaga di warung, kita ambil perhatian, tidak perlu sebut untuk bantuan pakej rangsangan yang sudah keluar lebih RM300 bilion. Masa pentadbiran terdahulu RM20 bilion, pentadbiran sekarang lebih RM300 bilion, tetapi rakyat kata tidak cukup lagi. Saya duduk dengan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz), saya cuba hendak bayangkan, kalau ada lagi (bantuan), kita bagi lagi kerana rakyat di bawah menghadapi masalah besar.

Jadi bagi saya, tempoh setahun ini pencapaian kita agak memuaskan, pentadbiran berjalan dengan baik. Kita tidak terlepas pandang apa-apa perkara utama, termasuk soal pendidikan, sosial, kesihatan, ekonomi sudah tentu, keselamatan, perpaduan. Ini perkara penting dalam negara, kita tidak terlepas pandang, cuma penekanan terhadap bidang mana hendak diberikan perhatian, ini sedang kita buat dan lakukan sekarang.

Usaha bersama kerajaan, rakyat bawa kejayaan

S: Apa pandangan Tan Sri mengenai penerimaan rakyat terhadap semua inisiatif kerajaan ekoran pandemik COVID-19?

J: Kita buat tinjauan, hampir selalu, menganalisis setiap perkara yang berlaku. Saya fikir, umumnya mereka berpuas hati, umpama dalam soal pengurusan COVID-19, tetapi ada dalam sesetengah perkara apabila kes COVID-19 melonjak sedikit, dia tak suka. Menerusi media, kita dapati (maklum balas) perkara ini. Kes turun saja, dia suka, tetapi saya fikir, ambil tempoh sepanjang tahun ini, rakyat akan rasa lebih selesa dan selamat, itu penting bagi saya.

Keduanya, kehidupan mereka. Adakah mereka ada makanan di atas meja? Itu penting, jangan rakyat Malaysia kebulur tidak makan. Itu saya rasa kalau berlaku, saya gagal. Sebab itu, kita ada macam-macam cara bantuan, secara langsung, bantuan terkini, dalam PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia), bakul (Bakul Makanan), istilah yang membawa maksud memberi bantuan makanan, bantuan wang tunai, modal berniaga.

Sekarang kita sudah buka hampir semua ekonomi kita, kecuali satu dua saja seperti panggung wayang, spa kerana kita takut kesan (COVID-19), tetapi hampir 95 peratus, sudah kita buka. Bagi saya, rakyat sewajarnya bersyukur, bukan kerana kerajaan bertindak sebegini, tetapi ini ialah usaha bersama.

Saya rasa kalau buat seorang, tidak boleh berjaya. Pegawai kerajaan saja buat, tidak boleh berjaya, tetapi dengan gandingan kerajaan, rakyat, pegawai dan semua pihak, kita boleh berjaya kerana ini dipanggil pendekatan keseluruhan masyarakat, bukan keseluruhan kerajaan saja. Saya berpendapat, daripada tinjauan yang kita buat berulang kali, umumnya rakyat berpuas hati dengan langkah kerajaan. Sebagai Perdana Menteri, saya fikir mereka memahami, dalam keadaan susah, tetapi kita cuba buat sehabis baik untuk mereka. Itu saya fikir.

Perkemas sistem bantu rakyat

S: Apa hala tuju dan pencapaian yang bagaimana diinginkan kerajaan PN dalam bentuk menyalurkan bantuan kepada rakyat?

J: Hari itu, saya pengerusikan mesyuarat EAC, saya suruh bentang mengenai hala tuju bantuan kepada rakyat dan bantuan sosial. Kita dapati masalah negara sekarang, antara lain disebabkan COVID-19, kesan kepada rakyat amat besar. Dulu kita panggil golongan isi rumah B40 (golongan berpendapatan 40 peratus terendah), saya jangka ia sudah jadi B50. Ada dulu golongan isi rumah berpendapatan M40 (golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan), mungkin kekal kerana 10 peratus daripada golongan isi rumah berpendapatan T20 (golongan berpendapatan 20 peratus teratas) sudah turun jadi M40.

Ini satu krisis yang harus diakui, bukan kerana perbuatan saya, tetapi disebabkan masalah yang negara hadapi. Jadi kita kena fokus, bagi tempoh akan datang ini, terutama dari sekarang, sementara kita membantu yang lain untuk pulih, kita harus melihat kumpulan masyarakat yang paling terjejas. Bentuk bantuan sudah bagi banyak, berbilion ringgit, masih terus diberikan.

Sekarang sudah mula bayar bagi peringkat awal, tetapi tidak cukup membantu. Jadi strategi saya ambil sekarang, melihat kepada soal ini, bagaimana hendak tangani masalah kemiskinan? Ada dua kategori, kemiskinan bandar, kemiskinan luar bandar. Pada zaman dulu, kemiskinan luar bandar lebih ketara kerana orang di bandar dapat wang lebih.

Sekarang, kemiskinan di bandar lebih berat kesannya berbanding luar bandar kerana tidak tampung sara hidup. Hampir 52 peratus daripada keseluruhan kemiskinan berlaku di bandar kerana sebahagian mereka terlepas pandang kerana sistem data kita tidak kemas. Orang miskin tidak masuk dalam rekod, lepas itu, apabila orang itu sudah dapat bantuan sekali, dapat dua, tiga, ada yang tidak dapat langsung. Ini yang saya dapati dalam sistem yang perlu kita perkemaskan. Tetapi umumnya yang lain, bagaimana hendak pulihkan ekonomi tatkala kita uruskan masalah COVID-19? Seperti sekarang, sektor pelancongan hampir tidak boleh bergerak kerana sekatan rentas negeri.

Ada sekali dulu kita buka, sekali naik atas lebuh raya, penuh dengan orang, saya pun sudah seronok, tetapi sekarang mencanak semula (kes COVID-19). Maka kita tutup, rentas daerah, rentas negeri tidak boleh. Menteri Pelancongan (Datuk Seri Nancy Shukri) jumpa saya, Tan Sri, tolong buka (sekatan rentas negeri). Memang kita prihatin hendak buka, tetapi KKM kata nanti dulu. Jadi, kita hendak tengok bagaimana kerana sektor ini paling teruk terjejas.

Mengikut unjuran, ia akan mengambil masa dua hingga empat tahun baru dapat pulih. Hotel sudah tutup. Sebab itu saya maklumkan dengan Datuk Ismail (Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), dia sudah umum semula, hotel tidak pernah diarah tutup, bukalah, kalau orang hendak datang duduk, makan, kita benarkan. Kita tidak boleh bertahan lama sangat sehingga ekonomi kita menjadi begitu lemah,

Justeru, jika ditanya apa langkah hadapan, ini sebahagiannya. Selain itu, kita hendak tarik pelaburan, kajian yang kita buat adalah apa yang rakyat bimbang, sama ada dia bangun pagi, dia ada kerja lagi atau tidak? Rakyat fikir ‘adakah saya masih ada kerja’ kerana esok datang pejabat, majikan kata, anda terpaksa kami lepas (berhentikan). Mengapa? Sebab syarikat kita rugi. Jadi, saya kena ambil kira ini, bukan saja soal makro, iaitu berkaitan pembangunan, pertumbuhan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita menguncup, saya harap ia akan meningkat.

Bagaimana hendak buat? Mesti ada pelaburan masuk, industri mesti bergerak semula, eksport mesti meningkat, saya faham. Itu soal ekonomi. Kemudian sektor lain, pembuatan, perkilangan, pembangunan, pembinaan, pertanian. Semua sektor ini mesti berkembang, tetapi semua terjejas. Jadi, perlahan-lahan, kita kena teliti perkara ini dan rangka corak pengurusan. Ia lebih daripada soal makro, sebaliknya pengurusan mikro, setiap sektor ekonomi. Ini yang kita sudah mula buat sekarang.

Pinda sistem, buang kerenah birokrasi

S: Apa lagi fokus kerajaan selain Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)?

J: Fokus kita mulai sekarang, semua sektor rancak semula, tetapi segelintir mungkin berdepan masalah dengan bank, ini pengurusan mikro dan kita perlu minta bank tolong, beri moratorium (penangguhan bayaran balik pinjaman), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (bantuan i-Lestari dan i-Sinar). Jadi, kita hendak tengok sektor utama ekonomi, kita hendak gerakkan semula.

Bidang sosial, pendidikan antara terjejas teruk, tetapi kita sudah buka atau sektor lain. Ini saya fikir agak penting supaya kita berikan perhatian dan tumpuan. Kementerian sudah diarah untuk berikan tumpuan lebih ke arah perkara yang mempunyai hubung kait dengan rakyat, ekonomi dan perniagaan. Contoh, kalau terlalu banyak kerenah birokrasi, hendak dapatkan kelulusan memakan masa berbulan atau bertahun, ini akan menggagalkan usaha kita. Jadi sampai ke peringkat itu.

Saya sudah arahkan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Zuki Ali) sebagai contoh, kalau ada kerenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan seperti dibuat pada zaman biasa dan tidak boleh pakai zaman sekarang, kena pinda atau kalau tidak perlu, buang supaya proses itu dapat berjalan dengan cepat.

Ini antara langkah drastik yang kita sedang ambil, bukan saja pada peringkat Persekutuan, tetapi juga peringkat negeri, menteri besar bersama membantu supaya apa saja isu rakyat, kita perlu selesaikan segera. Ini kerana rakyat tidak boleh tunggu, sehari penantian amat menyeksakan bagi mereka. Mereka tidak boleh tunggu lama kerana bila esok masih tiada (bantuan), mereka sudah jatuh miskin, susah, berniaga terpaksa tutup, hendak buka balik bukan senang, semua ini saya faham.

Walaupun kita sudah ada dasar menerusi WKB bagi mencetuskan keseimbangan antara pengagihan kekayaan dalam kalangan rakyat, sama ada Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, penting untuk tentukan tiada sebuah negeri lebih maju, manakala negeri lain mundur. Sabah dan Sarawak juga mesti diberi layanan sama adil, sebab itu saya wujudkan menteri menguruskan soal Sabah, Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kita teliti halus, sebahagian sudah kita setuju bersama. Justeru, saya berusaha sehingga peringkat sedemikian bagi menentukan kita dapat bangkit cepat daripada itu dan mengikut unjuran, penggal kedua atau ketiga, ada peningkatan dari segi pertumbuhan KDNK, insya-Allah.

Kurangkan jurang perbezaan antara negeri

S: Sejauh mana Sabah dan Sarawak diberikan perhatian sewajarnya dalam tempoh setahun yang lalu?

J: Ketika saya bentuk Kabinet pun, saya fikir ini perkara utama, maka saya lantik Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak). Saya mulakan mesyuarat khas bersama Ketua Menteri (Sabah dan Sarawak) untuk bincangkan MA63. Saya sudah selesaikan masalah PETRONAS di Sarawak berkaitan tuntutan dan persetujuan bersama, saya sedang runding dengan Sabah.

Itu antara langkah yang sudah kita buat, tetapi itu perkara yang agak induk dalam MA63. Masalah dan hakikatnya, Sabah dan Sarawak agak masih jauh ketinggalan, itu saya akui. Sebab itu, saya tubuhkan satu kementerian untuk menjaga perkara itu, contohnya isu kemiskinan. Sabah dan Sarawak masih dikatakan antara negeri yang mempunyai jumlah orang miskin yang ramai. Soal infrastruktur, siapa yang biasa pergi sana? Jalan, pasal dia negeri besar, Sabah lebih besar daripada tiga, empat negeri di Semenanjung. Sarawak lagi besar.

Jadi, ada masalah dari segi hubungan. Mengenai isu kesalinghubungan seperti capaian internet, ada cerita belajar sampai perlu naik pokok hendak dapat internet. Ini masalah juga kerana dalam dunia moden, dari segi soal pembelajaran dan teknologi, ini penting supaya hendak permudahkan e-dagang, bagi memudahkan orang jual hasil. Ia memerlukan teknologi internet dan sebagainya, maka itu pun kita ambil kira.

Bagi saya, langkah sudah kita ambil kira, tetapi banyak lagi yang perlu dibuat, bagi meletakkan Sabah dan Sarawak setara dengan Semenanjung. Di Semenanjung pun, ada negeri yang masih ke belakang, berbanding negeri lain. Ini antara isu yang sudah berlaku sejak dulu, saya warisi, tetapi kita kena cari jalan dalam pentadbiran PN, bagaimana kita hendak kurangkan jurang perbezaan seperti kita sebutkan dalam dasar WKB.

Perkukuh hubungan antarabangsa

S: Mengenai hal ehwal hubungan antarabangsa, Tan Sri hanya berpeluang bertemu Presiden Indonesia secara bersemuka sedangkan pemimpin ASEAN dan negara lain hanya secara maya. Adakah kekangan mengadakan lawatan kerja rasmi menjadi penghalang dalam usaha meningkatkan hubungan antarabangsa?

J: Ya, dari satu sudut, betul. Kita bincang tadi, di seluruh dunia pemimpin negara lain pun tidak pergi melawat ke sana ke mari, bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak dibenarkan. Persidangan yang kita pengerusikan, Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), kita buat secara maya, ASEAN peringkat menteri begitu juga kerana masalah COVID-19, tetapi itu tidak bermakna kita abaikan isu hubungan dengan negara lain.

Bagi saya, ia antara perkara yang utama, hubungan luar dengan negara sahabat, kita mengamalkan dasar berbaik dengan semua negara kecuali sebuah negara itu. Umumnya begitu kerana ini dasar Malaysia sejak dulu, saya pertahankan, tetapi soal dasar tadi tidak cukup, hasil dasar tadi mesti memberikan keuntungan kepada kita, jadi kalau begitu, mesti ada hubungan yang akrab. Sebab itu saya memilih Indonesia, dalam keadaan yang tidak menentu, hendak pergi atau tidak, akhirnya pergi juga. Pak Jokowi (Presiden Indonesia, Joko Widodo) kata ‘sila pak, orang Indonesia di Jakarta sedang menunggu’. Saya pergi, Alhamdulillah.

Jangkaan pada Mac ini, saya akan pergi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, selepas itu China. Ada kita rancang kerana bagi saya, hubungan yang sudah terjalin selama ini, kita perlu perkukuhkan. Seperti di indonesia hari itu, saya usul dan Pak Jokowi segera terima cepat, kita tingkatkan hubungan Indonesia ke satu taraf yang dipanggil Rakan Kerjasama Strategik Menyeluruh, ia bukan biasa. Ini kerana saya fikir Indonesia akan bangkit sebagai kuasa besar, selain dilihat yang berlaku di China.

Ada faedah dari segi perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya, seni dan sebagainya. Jadi sebab itu, saya kalau boleh, hubungan dengan semua negara ASEAN dan jiran terdekat menjadi keutamaan. Kita pilih selepas ini nak ke mana? Brunei, Jepun, Korea Selatan.

Semua negara ini kita ada hubungan, ada perjanjian, baik pelaburan, pendidikan, pertahanan, tetapi disebabkan COVID-19, ia terjejas sedikit. Namun, bukan bermakna kita tidak berikan perhatian. Macam dalam ASEAN, saya cadangkan dulu dan diterima dalam kalangan negara ASEAN (untuk) melihat bagaimana hendak bantu negara ASEAN mengatasi masalah COVID-19. Mungkin perlu ada satu langkah yang agak jelas ke hadapan bagi membantu (pemulihan) pasca pandemik, merintis pemulihan pada kadar segera, itu satu contoh.

Alhamdulillah, seperti pada sidang APEC, kita berjaya uruskan (penganjuran). Saya berinteraksi secara maya dengan semua pemimpin dunia, negara ASEAN begitu juga. Saya lebih seronok kalau dapat hubungan peribadi, dengan cara lawatan fizikal sambil makan, bercerita, tetapi itu tidak boleh. Sebab itu pelaksanaan suntikan vaksin penting. Bukan saya saja hendak ke luar negara, peniaga dan orang lain juga. Apabila ada vaksin, kita rasa lebih selamat. Mungkin ini akan membuka pintu sempadan negara kita dan hubungan dengan negara lain juga akan lebih akrab lagi.

Ramai minat melabur di Malaysia

S: Banyak isu antarabangsa dilihat seperti terlepas pandang. Adakah kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada isu sedemikian selepas ini?

J: Bukan terlepas pandang, tetapi disebabkan keadaan dan persekitaran semasa, tetapi Kementerian Luar sebagai agensi utama yang merintis soal hubungan antara negara berjalan dengan biasa. Menteri (Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) pun berhubung secara maya, menerusi telefon. Saya dapat laporan ia berlaku secara berkala. Kalau ada isu tertentu, Malaysia tidak terkecuali.

Isu Myanmar sekarang, kita bicarakan soal itu atau soal di Asia Barat, kita tahu apa yang berlaku dan kita ada pendirian negara berhubung isu tertentu sejak dulu. Walaupun ini pentadbiran baharu, kalau dasar itu baik untuk negara, saya kekalkan, tidak diubah, tetapi penting untuk ditingkatkan. Macam perkara yang saya hendak beri perhatian selain ASEAN, antara dasar utama ialah hubungan Malaysia dengan negara Islam kerana orang iktiraf kita sebagai negara Islam terkemuka.

Bukan pasal Islam saja, tetapi ada faedah yang lain juga. Bagi saya, ini ruang besar kerana Malaysia sudah tercatat sebagai negara yang agak maju dalam beberapa bidang, termasuk teknologi. Kita mahu pengalaman Malaysia (dalam teknologi) dapat dikongsi bersama atau mengenai ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan.

Ini saya lihat dalam tempoh beberapa tahun lalu, bukan sewaktu pentadbiran saya, agak tidak diberikan tekanan, maka ia perlu dilihat semula untuk ditingkatkan lagi atau dengan negara selatan (negara dunia ketiga). Biasanya orang lain, kalau negara itu miskin, dia kata biarlah, tetapi antara negara itu ialah negara Islam.

China ialah rakan dagang terbesar, ini tidak boleh main-main. Kalau kita tiada hubungan akrab dengan mereka dalam segenap bentuk, ini akan merugikan Malaysia. Justeru saya beri cadangan untuk melawat China, berjumpa Presiden Xi Jinping, berbincang banyak agenda yang sudah diputuskan pada masa lalu dan hendak lihat bagaimana Malaysia-China mampu bekerjasama.

China sudah bertapak di sini pun, terbabit dalam infrastruktur, pengangkutan dan saya dengar ramai lagi berminat hendak datang melabur di Malaysia. Mereka mempunyai sumber dana yang cukup besar, menjangkau trilion dolar Amerika Syarikat (AS). Soal dasar luar negara ini bukan sekadar hendak mewujudkan keamanan, perdamaian dunia saja yang memang penting, tetapi hasil hubungan itu mesti ada faedah bersama, lebih kepada Malaysia. Umpamanya, kita tengok perangkaan perdagangan kita, defisit. Mereka lebih banyak berdagang dengan kita berbanding sebaliknya, maka kita kena tengok untuk betulkan semula.

Begitu juga mengenai ketidakseimbangan dari segi data pelaburan. Kenapa orang tidak datang melabur di sini, tetapi di tempat lain? Itu kita kena tengok. Ini saya sudah bincang dengan Datuk Azmin (Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali). Kita kenal pasti perincian bidang yang boleh kita berikan perhatian supaya hasil hubungan luar negara itu, selain menjamin kesejahteraan, keamanan serantau, turut memberi kesan positif kepada pembangunan negara. Itu penting.

Rindu bersemuka dengan rakyat

S: Berbalik kepada situasi semasa COVID-19. Adakah Tan Sri merindui suasana bersemuka dengan rakyat?

J: Ya. Saya hendak balik kawasan saya di (Parlimen) Pagoh, pegawai saya kata boleh balik, tetapi Tan Sri hendak pergi mana? Saya kata, saya hendak jumpa rakyat, (pegawai jawab) “PKP Tan Sri”. Oh ya juga, tetapi takkan saya hendak jumpa rakyat secara maya saja? Rakyat kita maya pun pandai juga, tetapi kesannya tidak sama, kita perlu jumpa mereka, kita sudah kenal.

Sebab itu kita beri perhatian untuk cari jalan cepat supaya COVID-19 dapat diatasi, mungkin seluruh negara beralih kepada PKP Pemulihan (PKPP) dan akhirnya langsung tiada PKP, tetapi kita terus amalkan SOP sehingga dimaklumkan oleh pakar imunologi dan KKM, Malaysia sekarang bebas daripada COVID-19. Kita boleh hidup seperti biasa, hendak bersalam boleh, berpeluk boleh, sebagai contohlah.

Itu yang kita harapkan. Sebab itu pelan yang kita laksanakan sekarang amat penting, justeru mesyuarat pun mudah. Saya dimaklumkan, mesyuarat Kabinet pun tidak selamat pakai (aplikasi) Zoom, sebab ada kebocoran atau hendak guna teknologi lain. Maka kita perlu adakan mesyuarat seperti biasa secara fizikal, tetapi pindah ke bilik yang ada ruang lebih luas bagi menjamin aspek penjarakan fizikal. Saya tidak mahu situasi ini berpanjangan selamanya dan rakyat juga mempunyai pendirian sama untuk balik ke kehidupan biasa, boleh makan, menjalankan perniagaan, bersukan, beriadah.

S: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menampakkan kesungguhan kerajaan PN untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan menempuh hari sukar akibat pandemik. Apa harapan Tan Sri daripada program ini?

J: Memang saya cukup harapkan kalau boleh semua yang patut dapat suntikan, menerima suntikan. Saya sudah maklumkan sebelum ini pun, tolonglah tampil ke depan, jangan bimbang, ragu atau takut. Daftar dalam MySejahtera supaya semua rakyat kita mendapat vaksin. Kerajaan sudah buat keputusan untuk berikan vaksin secara percuma, malah kita sediakan kepada bukan warganegara secara percuma. Pasal apa? Kalau rakyat Malaysia saja dapat percuma dan disuntik vaksin, warga asing duduk bekerja di sini tidak disuntik, esok dia ada masalah, kita yang dijangkiti.

Jadi, harapan saya semua pihak mesti terbabit secara bersama dalam kempen untuk menjayakan program imunisasi. Sasaran kita, 80 peratus daripada rakyat di Malaysia, itu sebenarnya hampir 100 peratus daripada mereka yang patut diberikan vaksin. Untuk mencapai imuniti kelompok, saya dimaklumkan ia harus mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus. Kalau ikut reaksi awal, tinjauan KKM, 67 peratus bersetuju mengambil vaksin.

Selepas vaksin pertama sampai, kadar keyakinan terhadap pelalian naik ke 80 peratus, justeru ia perkembangan yang amat baik. Cuma, tempoh ini masih panjang, sampai awal tahun depan. Kalau semua berjalan mengikut jadual dan vaksin tiba bersandarkan masa tertentu, makin ramai akan dapat suntikan dan itu lebih baik bagi kita. Rancangan imunisasi ini sangat mustahak dan kempen terbesar di Malaysia, membabitkan segenap lapisan masyarakat. Saya hendak ucap terima kasih kepada semua yang menjayakan usaha ini, ia kerja besar tetapi setakat ini agak baik.

Tiada faedah tolak imunisasi

S: Apa yang boleh dilakukan andainya tidak mendapat jumlah (sasaran rakyat) yang mencukupi untuk penerimaan vaksin?

J: Kita akui memang ada sedikit masalah sedemikian kerana dalam mana-mana masyarakat pun, pasti ada kumpulan tidak setuju, tetapi harapan saya, yang tidak bersetuju itu tidak besar sangat dan tidak terpengaruh kempen antivaksin menerusi pelbagai hebahan yang menimbulkan ketakutan, kebimbangan, mati dan macam-macam cerita demi mengalih pandangan rakyat supaya tidak mengambil suntikan.

Yang penting ialah kesediaan rakyat, apa kerajaan bantu ialah untuk tolong mereka. Ini seakan (pepatah) ‘jangan tolak rezeki’ dalam bahasa Melayu, tiada faedah bagi mereka. Saya lebih yakin untuk tunggu satu lagi dos suntikan, tetapi yang belum suntik apa rasanya? Bukanlah saya kata saya terselamat, tetapi saya boleh katakan, dalam badan saya ini, ada antibodi yang jika ada elemen virus hendak masuk, ia akan lawan. Kalau tiada vaksin itu, hendak lawan macam mana, rasalah sakit.

Bagi saya, ia perkara penting dan saya percaya kempen ini akan dapat sambutan kerana kita gerakkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat, ketua kampung, Rukun Tetangga untuk terbabit dalam penghebahan berita ini dan menggalakkan pendaftaran sebagai penerima vaksin menerusi MySejahtera.

Kita akan pantau dari semasa ke semasa, setiap hari supaya sebarang keperluan untuk berikan penekanan terhadap sesuatu kawasan, sama ada di bandar, jalan, kota, pinggir kota, Sabah, Sarawak, ia perlu diagihkan ke seluruh pelosok negara.

Kita akan pantau perkara ini dan KKM sebagai badan penyelia mempunyai pusat pemantauan menggalas tugas ini, mencakupi kejayaan kempen, kadar pendaftaran dan aspek yang perlu diberikan penekanan. Jika semua berjalan mengikut pelan, saya harap gerakan didalangi segelintir pihak untuk merencatkan prestasi program imunisasi ini, tidak berjaya.

S: Adakah kerajaan mempunyai pelan komprehensif membawa Malaysia keluar daripada dilema ekonomi, terutama pasca COVID-19?

J: Pelan itu sudah dilaksanakan. Bukan apa yang kita buat sekarang tiada kena mengena seperti kita pantau pertumbuhan negara, mengapa tahun lalu pertumbuhan kita menguncup 1.7 peratus, sebelum itu lebih besar pada 17 peratus. Maknanya kita sudah ada langkah bagi mengurangkan kesan sedemikian dengan ada sedikit penguncupan.

Ketika ini masih fasa pertama, tetapi unjuran kita selesai akhir tahun, ada pertumbuhan positif, itu dari segi KDNK. Pemacu kejayaan seperti ini ialah mengikut sektor, pembuatan, pembinaan, peruncitan, semua sektor, tetapi lebih penting, semua sektor kita buka, kalau sekat, tidak boleh.

Mungkin satu saja, sektor pelancongan yang belum pulih seperti dikehendaki, itu kita kena lihat dan caranya kita sudah tahu mereka terkesan, diberi buka pun tidak boleh berniaga kerana tidak cukup modal. Diberi moratorium daripada bank dan Danajamin (Danajamin Nasional Berhad), macam-macam. Dalam senarai panjang, tidak cukup dua jam kalau saya hendak perincikan

Jadi, ia pelan menyeluruh, bukan ambil sedikit-sedikit kerana hendak tengok bagaimana negara mesti dapat keluar daripada masalah ekonomi. Penting juga bagi sempadan negara dibuka suatu hari nanti, sekarang belum buka, boleh berniaga, boleh eksport tetapi masih agak terkesan. Pelancongan tidak boleh lagi.

Justeru, kalau hendak tengok industri penerbangan kita kembali melonjak, mesti ada pelancongan, kalau tidak orang tidak ‘terbang’. Semua ini diambil kira dan insya-Allah bulan depan, saya akan umumkan strategi menyeluruh. Saya bincang dengan Menteri Kewangan, apa strategi kita sebenarnya untuk lebih pesat keluar daripada masalah sekarang dan ekonomi bertambah rancak. Tunggu dan saya akan umumkan pertengahan Mac nanti.

FDI ke Malaysia masih kuat

S: Ada dakwaan sejak setahun lalu, kerajaan kurang memberi tumpuan soal ekonomi, termasuk pelaburan langsung asing (FDI)?

J: Ya, saya faham. Berdasarkan rekod, hampir seluruh dunia terkesan dari segi FDI. Malaysia juga dan antara yang terbesar. Bagi saya, ia tidak membimbangkan kerana laporan terkini menunjukkan minat pelabur asing datang ke Malaysia masih kuat. Kalau ikut data baru kita dapat kelulusan, RM109.8 bilion pelaburan baharu dalam ekonomi negara kita, semua sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama.

Ini dalam tempoh sembilan bulan 2020, maknanya wujud pertumbuhan. Ada 2,935 projek untuk menghasilkan 64,701 peluang pekerjaan. Jadi FDI menyumbang 40 peratus dan sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan bagi tempoh ini, menyumbang lebih separuh iaitu 59.5 peratus atau RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dan sektor lain. Kita juga mula menawarkan beberapa insentif baharu untuk dua tahun.

Ini keputusan saya bagi menarik minat pelabur. Wujud kepentingan memacu pelaburan, tetapi melihat kepada sektor yang mana satu, teknologi tinggi. Saya baru lancarkan MyDigital (Rangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia). Ini pun akan diumumkan dalam sehari dua lagi berapa jumlah pelaburan dari luar, merangkumi syarikat ternama.

Kita juga buat keputusan merancakkan pelaburan dalam negara kerana dulu tumpuan terarah kepada pelaburan asing. Sekarang, pelaburan dalam negara lebih besar daripada asing sebenarnya kerana syarikat yang bertapak di Malaysia sudah menjadi syarikat multinasional yang besar, ada sesetengah sudah pergi ke luar negara juga. Jadi kita hendak mereka kembangkan dengan melabur semula dalam negara. Bagi saya, saya tidak bimbang sangat (dengan FDI) kerana dengan adanya dasar mesra peniaga, diharapkan sektor perniagaan dan pelaburan akan berkembang pada masa depan.

Isytihar darurat bukan kerana politik

S: Proklamasi darurat terus menjadi bahan politik, termasuk daripada sekutu dalam kerajaan PN, kononnya disebabkan Tan Sri sudah hilang majoriti di Parlimen?

J: Ya, kita buat keputusan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atas sebab yang agak berpatutan dan sesuai. Kalau ingat, waktu pertama kita buat keputusan, kita menghadap baginda, baginda tidak berkenan, tetapi kali kedua, baginda berkenan kerana situasi COVID-19 yang membimbangkan kita, justeru diisytiharkan darurat. Menerusi langkah itu, kita dapat gunakan peruntukan Ordinan Darurat untuk uruskan masalah COVID-19 secara lebih cepat.

Kerajaan boleh cadangkan pindaan kepada beberapa akta atau perkara baharu yang hendak dibuat dalam bentuk ordinan, dibawa ke Kabinet, Yang di-Pertuan Agong beri perkenan, esok diwartakan, boleh jalan (kuat kuasa). Kalau hendak tunggu proses Parlimen, boleh juga, tetapi lazimnya ambil masa panjang, sedangkan COVID-19 ini tidak boleh tunggu esok.

Sebab itu apabila kita kuat kuasa (ordinan), kita pinda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). Kalau dulu Akta 342, denda maksimum RM1,000, sama ada (kesalahan) besar atau kecil, tetapi sekarang dipinda dan dinaikkan ke RM10,000 atau jika babitkan syarikat boleh sehingga RM50,000.

Itu tujuan untuk mengekang, jangan ada pelanggaran penguatkuasaan. Dahulu tentera tidak boleh tangkap, kerja waktu perang saja, tembak orang (musuh dalam perang), tetapi waktu zaman aman hendak bantu polis, tentera tidak boleh buat apa-apa. Sekarang kita beri kuasa kepada tentera untuk menahan dan menangkap ikut kuasa polis yang ada.

Zaman luar biasa sekarang, hospital kita sampai satu peringkat hendak ‘pecah’ (penuh) kerana kapasiti asal tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit. Jadi, kita guna hospital sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor dengan kapasiti 10,000 orang. Sekarang sudah kurang sedikit tekanan, tetapi kuasa yang ada ini, kita boleh ambil alih hospital swasta secara sementara dan ia termasuk katil, peralatan, doktor dan jururawat. Bagusnya walaupun ada Ordinan Darurat, mereka (hospital swasta) bersedia secara sukarela, justeru kita dapat 1,300 katil tambahan.

Banyak lagi perkara yang sudah kita buat dan antara menjadi masalah terbesar dalam COVID-19, majikan tidak ikut Akta 446. Menerusi akta ini, majikan diwajib menyediakan tempat tinggal bersesuaian, tetapi hampir 70 peratus gagal mematuhi peruntukan perundangan ini. Bila tiada COVID-19, kita tidak tahu, tetapi bila ada wabak ini, itu (kes jangkitan pekerja) melambung sini, melambung sana. Sekarang kita sudah pinda sedikit Akta 446.

Kita juga hendak kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung berita palsu COVID-19. Dalam tempoh seminggu, kita rangka draf akta, Peguam Negara buat, diluluskan Kabinet, Yang di-Pertuan Agong perkenan, tanda tangan, diwartakan. Bermakna ada orang reka cerita, berita palsu bertebaran sekarang, kuasa diperuntukkan untuk menahan, menangkap dan mengambil tindakan segera.

Jadi, darurat ini bukan bermakna untuk saya dapat duduk lama jadi Perdana Menteri, saya pun tidak tahu parti mana ada jumlah kerusi lebih besar (majoriti di Dewan Rakyat) daripada saya. Dulu ada hendak tunjukkan (sokongan majoriti di Dewan Rakyat), tetapi tidak terbukti. Saya yakin bahawa saya mempunyai sokongan besar.

Saya yakin kedudukan saya menepati Perlembagaan Persekutuan dan sah. Saya tidak boleh duduk kerusi Perdana Menteri secara haram, saya buat kerja betul dan itu sebabnya. Pengisytiharan darurat bukan soal politik kerana ia tidak memerlukan darurat. COVID-19 perlukan darurat bagi memberi ruang kita bertindak secara berkesan. Apabila tiada COVID-19 nanti, tidak perlu darurat.

Kalau dulu darurat, sepanjang masa darurat, tiada tempoh masa. Saya (beri tempoh) hingga 1 Ogos 2021, tetapi kalau boleh selesai (ancaman COVID-19) awal, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong kata sudah boleh batalkan darurat, saya ikut sajalah. Bukan saya hendak duduk panjang-panjang (darurat) sehingga dua tahun.

Kalau dulu darurat sehingga dua tahun, kita tidak perlukan. Selesai (pandemik), balik semula ke keadaan asal. Kita tidak mahu selamanya dikongkong peraturan sebegini. Itu tujuan saya. Diharapkan rakyat faham, bukan soal takut tidak dapat majoriti di Parlimen. Dulu orang cabar saya, kita ke Parlimen, tidak dapat majoriti, tetapi 27 kali Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 diluluskan. Saya bukan hendak mendabik dada, itu rekod di Parlimen apabila Belanjawan 2021 diluluskan. Kata kita tiada majoriti, tetapi dapat kelulusan (RUU). Saya di sini hanya jalankan tugas dan amanah, ini yang saya buat sekarang.

Tangani COVID-19, baru PRU

S: Adakah pilihan raya umum (PRU) akan dibuat tahun ini?

J: Ia tertakluk kepada pelbagai perkara. Paling penting, kita perlu tangani COVID-19 dan apabila wabak ini mula landai, negara sudah terselamat daripada pandemik ini, itu kita harapkan. Soal kedua, darurat akan ditamatkan, itu tertakluk kepada tugas Jawatankuasa Khas Bebas yang memang terma rujukan satu saja, bila darurat berupaya ditamatkan? Jadi, kalau dapat maklumat daripada pihak keselamatan, di luar tiada kes (jangkitan baharu COVID-19), suntikan vaksin mula menunjukkan penyusutan kes sehingga dua angka, laporan pakar epidemiologi kata Malaysia semakin bebas COVID-19, tengok seminggu, dua minggu, tiada lagi (kes), baru OK.

Soal ketiga, bila PRU? Kalau ikut Perlembagaan Persekutuan, bila mana kerajaan yang mentadbir negara berpendapat hendak adakan PRU, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk minta pembubaran Parlimen. Sekiranya diperkenan, maka baru Parlimen dibubarkan, tetapi persoalannya bila? Bila sampai masa yang sesuai, kerana perkara pokok sekarang ialah untuk tangani COVID-19 dulu.

Ambil pengajaran di Sabah, hanya kerana perundangan kata mesti diadakan pilihan raya negeri (PRN), kita buat. Maka sampai hari ini (penularan COVID-19) tidak selesai. Ada juga pilihan raya kecil (PRK) di sana, tetapi belum dibuat, iaitu (Dewan Undangan Negeri) Bugaya dan (Parlimen) Batu Sapi, selain Gerik, tetapi disebabkan darurat dan COVID-19, digantung dulu. Yang mustahak, kita selesaikan ini (krisis COVID-19) dulu. Bila selesai, saya tidak mahu tunggu sehari pun, balik semula keadaan asal, bukan kita bimbang apa-apa pun. Itu paling mustahak.

‘Jika saya gagal, negara gagal, rakyat derita’

S: Tan Sri memimpin negara dengan 30 juta rakyat, bukan satu perkara mudah dalam keadaan biasa pun. Dengan krisis pandemik mengancam dunia, ketidaktentuan politik dan bagi Tan Sri sendiri secara peribadi, terselamat daripada kanser. Apa yang mendorong Tan Sri?

J: Semuanya kerana kuasa Allah. Saya pun tidak pernah bermimpi, tetapi apabila dilantik, saya tahu ini amanah, tanggungjawab besar dan jawatan paling penting dalam negara. Jadi saya sedar, apabila pegang amanah, sebagai seorang Islam, saya tidak boleh abaikan kerana akan ditanya di akhirat nanti.

Apa kamu buat kepada rakyat apabila menjadi Perdana Menteri, macam mana nak jawab? Jadi sekarang saya lakukan apa yang difikirkan terbaik untuk negara kerana saya tahu, saya mempunyai amanah. Walaupun saya tidak dipilih menerusi PRU seperti biasa dan mendapat mandat, tetapi disebabkan krisis, saya dilantik.

Jadi yang menjadi pendorong saya ialah rasa tanggungjawab dan amanah yang mesti saya tunaikan. Saya tidak boleh abaikan atau berehat di rumah, seronok jadi Perdana Menteri. Saya boleh maklumkan, sejak hari pertama menjadi Perdana Menteri, tiada lain saya fikirkan kecuali apa lagi yang boleh dibuat bagi menyelamatkan Malaysia. Ini mesti kita buat, jika saya gagal, negara gagal. Kalau negara gagal, rakyat akan menderita, justeru ia tanggungjawab yang sangat besar.

Sesetengah orang mungkin cemburu kerana saya jadi Perdana Menteri. Bukan saya tidak bersyukur, tetapi masya-Allah, ini beban, amanah. Setiap kali saya diuji, saya lalui dengan berdoa supaya dipermudahkan urusan. Tiap kali solat, mohon kepada Allah kerana saya yakin untuk berpegang kepada itu. Jika Allah izinkan, insya-Allah kita akan berjaya. Itu pegangan terkuat dalam agama Islam.

Harapan untuk rakyat, negara

S: Akhir sekali, apakah harapan Tan Sri untuk rakyat dan Malaysia?

J: Harapan saya ialah supaya Malaysia akan kembali seperti dulu, malah lebih daripada itu, menjadi sebuah negara cemerlang, gemilang, mencatatkan kemajuan pembangunan yang lebih hebat. Sebab itu, saya laksanakan pelan MyDigital dan pelbagai lagi kerana bagi saya, kalau dapat atasi masalah ini, kita sudah selesai satu bab, kita kena melihat ke depan, apa yang penting, di mana Malaysia dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang? Kalau banding dengan negara lain, kita (sepatutnya) sudah di depan, tetapi malangnya Malaysia masih di belakang.

Ini saya akui, bukan saya tidak terima, ia bukan kesalahan kita, tetapi itu keadaan kita. Lihat juga Jepun, Korea, suatu ketika dulu Korea datang sini belajar macam mana nak maju, tetapi sekarang mereka sudah maju, kita masih tertinggal di belakang. Pendapatan perkapita kita berbanding negara lain, masih kecil. Kenapa begitu? Sekarang masalah kemiskinan kita masih ada. Ini cabaran besar, bukan kerja main-main.

Saya komited, jika berikan tanggungjawab ini kepada saya, saya akan lakukan sebaiknya. Bukan nak membangga diri, tetapi di mana saya dicampak, di kementerian mana, saya sentiasa buat yang terbaik. Saya ingin tinggalkan legasi, bukan untuk diri sendiri tetapi buat negara. Asalkan saya sudah buat yang terbaik. Sebab itu, paling penting, mari kita gembleng tenaga, semangat dalam kalangan rakyat kerana perpaduan dan kekuatan itu penting bagi melahirkan komitmen secara menyeluruh.

Saya yakin, kita boleh berjaya, Malaysia akan muncul antara negara paling membangun. Kita nak capai (status) negara maju menjelang 2020, sudah tertinggal pun 2020, tetapi belum kecapi lagi sasaran itu. Sekarang WKB, nak tengok 10 tahun lagi bagaimana? Itu komitmen saya untuk menjalankan tanggungjawab saya, menentang rasuah, tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah dan buat apa yang terbaik bagi negara.

Dipetik dari : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/03/791328/saya-tekad-laksana-amanah-demi-rakyat-negara

Please follow and like us:
Total Page Visits: 271 - Today Page Visits: 2