April 22, 2021

Kuetiaw, koay teow atau kuetiau?

  • Oleh Uthaya Sankar SB
  • 6 Mac 2021, 9:00 am

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial tentang ejaan ‘kuetiau’ dan ‘mi,’ susulan paparan di laman Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya mengaku, setiap kali keliru sama ada ‘kuetiaw,’ ‘koay teow’ atau ‘kuetiau,’ saya akan merujuk Kamus Dewan.

Apabila melihat ejaan ‘mee’ dan ‘mie’ di restoran, mungkin ramai juga seperti saya berasa amat tidak selesa. Pada masa sama, kita sedar kesilapan ejaan ini tidak disengajakan. Malah, ada juga netizen berkata, tidak kisah apa ejaan asalkan pesanan sampai ke meja.

Isu ejaan ‘mi’ dan ‘kuetiau’ sebenarnya bukan benda baharu. Budaya rakyat Malaysia memang suka teruja apabila sesuatu isu menjadi tular.

Sebenarnya, ejaan yang betul itu sudah sedia ada dalam Kamus Dewan sejak dahulu (halaman 841 dan 1,030). Apa yang dilakukan pentadbir laman Facebook DBP adalah sekadar berkongsi maklumat itu untuk mengingatkan orang ramai tentang ejaan sebenar.

Seorang rakan, Tiru Mohan mengirim kepada saya satu lagi paparan di Facebook DBP iaitu ejaan ‘mentua.’ Memang ini satu lagi perkataan yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kita.

Tambahan pula, filem P. Ramlee berjudul Ibu Mertuaku (1962) masih ditonton orang ramai.

Generasi lama mungkin masih ingat bagaimana pada 1972, Sistem Ejaan Rumi Baharu diperkenalkan. Sejak itulah ejaan ‘mentua’ digunakan. Begitu juga ‘telefon’ (menggantikan ‘talipon’) dan ‘televisyen’ (menggantikan ‘talivisyen).

TEOW

Sebenarnya, bahasa kebangsaan yang kita gunakan sekarang menerima pengaruh daripada pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Portugis, Belanda, Tamil, Sanskrit, Cina dan Arab. Malah, kini pelbagai bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak digunakan, misalnya merarau (makan tengah hari), cicipan (minum petang) dan gabi (minum malam).

Buku Chinese Loan Words in Malay and Indonesia (2009) dan Kata Pinjaman Bahasa Tamil Dalam Bahasa Melayu (2015) adalah antara bahan bacaan sangat menarik dan amat saya sarankan kepada orang ramai yang berminat mendalami topik ini.

Berbalik kepada isu kuetiau yang hangat diperkatakan, kita perlu bersikap empati dan memahami mengapa ramai orang tampil mengemukakan pandangan dan bantahan. Berdasarkan komen-komen di media sosial, ramai kaum Cina menyentuh tentang kaitan budaya etnik Teochew dengan sajian itu. Maka, ‘teow’ diminta dikekalkan pada ejaan ‘kuetiau.’

Sebenarnya, banyak istilah pinjaman daripada bahasa-bahasa Cina dan Tamil mengalami perubahan apabila diserap ke dalam bahasa Melayu. Misalnya, ejaan ‘maruku’ walaupun semakan di www.dbp.gov.my mengesahkan ejaan ‘muruku’ adalah betul.

Kita juga akan menemui ‘peniaram’ dan ‘denderam’ dalam Kamus Dewan. Kaum India (khasnya penutur Tamil dan Malayalam) kecewa kerana ia sebenarnya merujuk kepada paniyaram dalam budaya kaum India. Ejaan ‘vadei’ dan ‘wade’ dalam Kamus Dewan pula merujuk kepada satu lagi kuih tradisional India yang dikenali umum.

AMARAN

Bolehkah orang ramai mengemukakan bantahan atau cadangan terhadap istilah-istilah yang terdapat dalam Kamus Dewan terbitan DBP? Sedekad lalu, apabila timbul isu mengenai istilah yang dianggap sensitif oleh sekumpulan kaum India, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) menegaskan, “Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).

Pihak radio swasta BFM menghubungi saya pada Rabu lalu untuk meminta pandangan mengenai isu ejaan ‘kuetiau’ dan bertanya sama ada orang awam berhak mengemukakan pandangan kepada DBP? Pertanyaan ini amat wajar khususnya susulan alasan yang diberi oleh kaum Cina berhubung kuetiau. Tambahan pula, sudah ada ‘amaran’ daripada Gapena dan Pena, sedekad lalu.

Tentu sahaja pandangan dan amaran dua persatuan penulis itu amat mengecewakan. Sebagaimana sudah dinyatakan dan memang diketahui umum, ada terlalu banyak perkataan daripada perbendaharaan kaum Cina dan India dalam bahasa kebangsaan kita. Sekadar contoh: cincai, kicap, tongkang, amah, cun, syurga, keluarga, aci, wahana, sayembara dan bahasa.

Sebenarnya, DBP bersikap amat terbuka dan inklusif dalam hal entri perkataan dalam Kamus Dewan. Orang ramai boleh menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan pandangan dan cadangan berhubung perkataan dan istilah yang sudah ada dalam Kamus Dewan atau mahu dicadangkan untuk edisi akan datang.

Sama-sama kita membina budaya positif dengan memainkan peranan dalam membantu memperkaya bahasa kebangsaan yang menjadi milik bersama. Komen-komen bernas di media sosial wajar disalurkan terus kepada DBP sebagai tanda keprihatinan kita.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Dipetik daripada : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/03/kuetiaw-koay-teow-atau-kuetiau/

Please follow and like us:
Total Page Visits: 172 - Today Page Visits: 3