April 22, 2021

Ambil pengajaran daripada kejatuhan Kerajaan PH

March 5, 2021 Share

KUALA LUMPUR: PAS menyeru parti-parti komponen kerajaan mengambil pengajaran daripada kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka perlu melihat semula asas kerjasama yang telah dibina sehingga terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, asas tersebut perlu menjadi panduan bagi membentuk persefahaman bersama dalam mengekalkan kerjasama parti tiga serangkai Melayu-Islam ini.

“Dengan meletakkan perpaduan Melayu dan Islam sebagai tunjang asas kerjasama, kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik kepartian serta peribadi, insya-Allah tidak akan berlaku pergeseran antara parti-parti komponen kerajaan.

“Sekiranya kerjasama gagal dibentuk di antara PAS, UMNO dan BERSATU, maka kemungkinan besar PH akan membentuk semula kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita semua perlu melihat bagaimana dahsyatnya PH memerintah selama 22 bulan ini. Jadi untuk mengelakkan tragedi ini daripada berulang kembali, saya berharap semua pihak dapat saling bertolak ansur untuk memastikan kerajaan PN ini dapat dikekalkan,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Ianya berikutan tindakan UMNO menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15.

Mengulas lanjut perkara ini, Kamaruzaman berkata, pihaknya yakin kerjasama yang baik dapat dibentuk dengan kematangan semua pihak meskipun terdapat percanggahan antara satu sama lain.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan hari ini, dalam kenyataannya menyatakan PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi UMNO, BERSATU dan PAS, bersama-sama rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara.

Sehubungan itu, Kamaruzaman tidak menafikan PH mempunyai peluang yang cerah untuk mentadbir semula tampuk pemerintahan negara sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di dalam PRU15.

Justeru itu katanya, PAS akan memastikan undi-undi orang Melayu tidak akan terpecah dengan mengekalkan kerjasama yang baik dengan parti-parti komponen kerajaan.

“PAS akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kerajaan PN yang ada pada hari ini kekal bersama gabungan PAS, UMNO dan BERSATU sehingga PRU-15.

“Walaupun mungkin ada sedikit pergeseran di antara UMNO dan BERSATU tetapi PAS yakin dengan usaha berterusan oleh semua pihak terutama sekali dengan peranan yang dimainkan oleh PAS, insya-Allah kita boleh mewujudkan suatu kerjasama politik dan bersama-sama di dalam sebuah gabungan untuk menghadapi PH di dalam PRU15,” katanya.

Sementara itu, Kamaruzaman menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mendakwa PAS memungkiri Piagam Muafakat Nasional (MN) yang telah dimeterai pada 14 September 2019 apabila menandatangani perjanjian Perikatan Nasional, katanya, prinsip asas MN adalah untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu gabungan.

“Maka, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga mewakili orang-orang Melayu, jadi usaha kita untuk merapatkan semaksimum mungkin saf-saf orang Melayu di bawah satu wadah ini juga tertakluk di bawah piagam MN dan juga PN.

“Jadi PAS bukanlah tidak setiakawan tetapi PAS melihat perlu kepada satu usaha berterusan untuk menyatukan semua parti-parti politik yang berbeza pandangan dengan PH untuk bersama di dalam satu blok politik.

“Usaha ini bukanlah kerana kepentingan politik sempit parti PAS tapi adalah atas usaha untuk membawa sebanyak mungkin kesatuan orang Melayu di dalam satu gagasan,” jelas Kamaruzaman lagi. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

Dipetik dari : https://harakahdaily.net/index.php/2021/03/05/ambil-pengajaran-daripada-kejatuhan-kerajaan-ph/

Please follow and like us:
Total Page Visits: 258 - Today Page Visits: 7