May 8, 2021

Jom baca dan fahami

Datuk Mohd Ajib Ismail

Muslimat khusyuk bertadarus Al-Quran di bulan Ramadan di Masjid AlHusna, Bandar Sunway, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Muslimat khusyuk bertadarus Al-Quran di bulan Ramadan di Masjid AlHusna, Bandar Sunway, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Ramadan ini, marilah bersama-sama kita menjadikan ia bulan untuk mengulang kaji al-Quran dengan membaca dan memahami maksudnya. Amalan membaca dan memahami al-Quran harus menjadi rutin harian agar sentiasa menjadi pendamping dan peneman di dalam kehidupan selain kesibukan kita melayari media sosial dan telefon pintar. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunah Nabi-Nya (Sunah Nabi SAW).” (Riwayat Imam Malik)

 Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya nanti datang pada Hari Kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”  (Riwayat Imam Muslim)

Budaya masyarakat dahulu terutama di kampung-kampung, anak-anak diajar mengaji al-Quran semenjak usia kecil lagi. Di televisyen, sekitar 1970-an rancangan mengaji al-Quran ‘Muqaddam’ yang dikendalikan oleh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari adalah di antara rancangan yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Apabila anak-anak berjaya khatam al-Quran, ibu bapa mengadakan kenduri doa selamat tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Tidak lengkap rasanya jika seseorang tidak dapat khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya. Di dalam majlis kenduri kahwin, biasanya diadakan acara khatam al-Quran beramai-ramai bersama pengantin. Begitulah al-Quran amat dekat dan sebati di dalam masyarakat. Sebahagian orang berusaha mempelajari al-Quran dengan menguasai seni taranum sehingga boleh menjadi qari dan qariah serta menyertai musabaqah al-Quran yang dianjurkan saban tahun. Sehingga kini, negara kita sudah melahirkan ramai tokoh berbakat dan tersohor di dalam bidang tilawah al-Quran.

Kita juga berbangga jika ada dalam kalangan anak-anak dan ahli keluarga yang berpeluang belajar di sekolah tahfiz menjadi hafiz al-Quran. Di dalam sebuah hadis daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda  maksudnya: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?” Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya.” Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al-Qur’an).”  (Riwayat Imam Ahmad)

Al-Quran sentiasa dihormati dan dipelihara kesuciannya dengan penuh adab. Seseorang perlu memastikan dirinya di dalam keadaan suci ketika menyentuh dan membaca al-Quran, tidak meletakkannya di sembarangan tempat, bahkan jika lusuh dan rosak, ia dilupuskan dengan cara yang tertib dan kaedah terhormat sebagaimana dilaksanakan di Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran harus disuburkan di dalam kehidupan bukan sekadar dibaca. Tuntutan membudayakan tadabbur al-Quran dinyatakan di dalam ayat al-Quran surah Sad ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) – Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Banyak program dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi mewujudkan kesedaran untuk menyemai budaya tadabbur di samping membaca dan menghafaz al-Quran.  Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran juga kini turut memperdengarkan bacaan terjemahan al-Quran.

Al-Quran hakikatnya adalah sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan dan pedoman untuk semua manusia bukan hanya khusus bagi golongan tertentu sebagaimana ayat al-Quran surah al-Qamar ayat 17 yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” Walaubagaimanapun pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran perlu mengikut disiplin ilmu yang ditetapkan agar tidak terjebak dengan penyelewengan dan tersasar daripada kefahaman yang sebenar.

Di dalam hal ini Allah SWT berfirman di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 7 yang bermaksud: “Dia-lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat ‘Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).

“Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.”

Pemahaman al-Quran hendaklah dirujuk kepada tafsiran para ulama yang muktabar. Ia tidak boleh dilakukan oleh semua orang dengan tafsiran berlandaskan akal. Perkara ini penting agar niat untuk memahami al-Quran tidak menjerumuskan kita di dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berkata sesuatu pada al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka. (Riwayat Al-Tirmizi). Di dalam hal ini, Ibn ‘Abbas misalnya diakui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sahabat yang dikurniakan keupayaan untuk memahami al-Quran secara mendalam. Rasulullah SAW pernah mendoakan kepada Ibn ‘Abbas dengan doa yang masyhur maksudnya: “Ya Allah! berikanlah kepada Ibn ‘Abbas kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwilan-takwilan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Di bulan Ramadan ini marilah kita mengambil kesempatan untuk melazimi bacaan al-Quran sama ada sendirian atau secara bertadarus. Di Wilayah Persekutuan, aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan diadakan di masjid dan surau selepas solat Tarawih mengikut SOP yang ditetapkan dengan tempoh masa dan bilangan peserta yang sesuai. Di tempat kerja, di rumah atau di mana sahaja kita berada, luangkanlah sedikit masa untuk membaca al-Quran dan terjemahannya. Bagi yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik, tidak ada istilah terlewat bagi yang mahu mempelajarinya. Banyak peluang dan kemudahan belajar al-Quran telah disediakan. Pilihlah mengikut keselesaan kita. Ramadan ini sekurang-kurangnya mengingatkan kita kembali mendekatkan diri dengan al-Quran yang menjadi asas kesempurnaan diri seorang Muslim.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Dipetik dari : https://www.hmetro.com.my/addin/2021/04/695786/jom-baca-dan-fahami

Please follow and like us:
Total Page Visits: 373 - Today Page Visits: 1