May 8, 2021

Tuntutan Rajin Kerja

Datuk Mohd Ajib Ismail

ISLAM menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki halal kerana ia juga dikira sebagai ibadah.
ISLAM menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki halal kerana ia juga dikira sebagai ibadah.

ISLAM amat menggalakkan manusia bekerja dan mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental adalah dituntut agar bekerja. Islam amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional sebaliknya menegah manusia daripada sifat malas dan meminta-minta. Bekerja boleh menjadi ibadah yang terbaik kerana ia juga merupakan sunah Nabi.

Manakala pekerjaan yang terbaik pula adalah daripada hasil usaha tangan sendiri. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.”  (Riwayat at-Tabrani)

Islam menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki yang halal kerana ia juga dikira sebagai ibadah sebaliknya mengecam mereka yang menganggur dan menjadi beban kepada masyarakat.

Walaupun Islam menyarankan agar bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan kehidupan, namun ia perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil. Rezeki yang ditentukan oleh Allah di dalam kehidupan seseorang amat berkait rapat dengan kerja dan usaha yang berterusan seperti kata pepatah ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.’

Pepatan Arab juga ada menyatakan ‘mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan.’

Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan benar-benar tawakal nescaya Allah merezekikan kamu seperti Dia merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.”  (Riwayat Ahmad)

Terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang boleh dilakukan dalam kehidupan. Namun perkara paling utama adalah memastikan agar pekerjaan yang dilaksanakan   halal dan tidak bertentangan dengan syariat. Kita mungkin bekerja sebagai peniaga, usahawan, petani, pekebun, penternak, nelayan, mengambil upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka itu semuanya digalakkan.

Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan niat yang betul bagi mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada Hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”  (Riwayat al-Baihaqi)

Islam menuntut umatnya agar melaksanakan pekerjaan dengan itqan atau sifat tekun dan penuh komitmen. Itqan juga bermaksud melaksanakan kerja, tugasan, amalan bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan, disiplin yang ditetapkan.

Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.”  (Sunan al-Baihaqi)

Dalam ajaran Islam, aspek integriti juga merupakan perkara yang sangat penting di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Integriti dapat dikaitkan dengan istilah ihsan sepertimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang ihsan. Rasulullah SAW menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”  (Riwayat Muslim)

Maksud ihsan menurut pengertian yang dinyatakan dalam hadis tersebut ialah kita menyembah Allah SWT seolah-olah kita melihat-Nya. Jika kita tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah SWT melihat kita. Menyembah Allah bererti mengabdikan diri kepada-Nya dengan beribadat menurut cara yang paling baik. Ibadah yang dilaksanakan berlandaskan sifat ihsan mesti ditumpukan kepada Allah SWT semata-mata, bukan kepada yang lain atau kerana orang lain.

Perkara berkenaan  juga adalah selari dengan ciri-ciri pekerja terbaik seperti yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: ‘Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. (Surah al-Qasas ayat 26). Setiap individu akan dapat melaksanakan sesuatu tugasan dengan cemerlang melalui penghayatan budaya kerja RSQI iaitu mengutamakan pendekatan yang baharu (Rejuvenasi), bersegera, tidak bertangguh serta memaksimumkan kerja dalam penggunaan masa (Speed), menzahirkan ketepatan dalam segenap aspek tugasan (Quality), serta  melaksanakan tugas secara amanah berlandaskan peraturan (Integrity).

Setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan dilaksanakan menurut panduan syariat dapat merealisasikan tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah SWT sebagaimana maksud ayat al-Quran surah al-An’am ayat 162 maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Di dalam ayat yang lain surah al-Zariyat ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa matlamat penciptaan manusia adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan cara mengenali, mengesakan dan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Di dalam era kehidupan masyarakat yang penuh mencabar ini, lebih-lebih lagi semenjak wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai golongan yang terkesan sehingga kehilangan pekerjaan, namun ada juga yang berusaha meneroka peluang dan cuba melakukan pekerjaan yang baharu demi meneruskan kehidupan.

Sebahagiannya berniaga di dalam talian, berniaga gerai makanan di tepi jalan, berniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri, menjadi penghantar barang dan makanan serta pelbagai lagi. Islam menggalakkan manusia melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang bermanfaat, namun berkewajiban memastikan pekerjaan itu halal serta tidak menyalahi syariat dan undang-undang.

Walau apa jua pekerjaan yang dilakukan tidak seharusnya menghalang kita daripada menunaikan kewajiban sebagai Muslim seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan lain-lain. Islam tidak merestui sesuatu amalan yang haram walaupun dengan tujuan yang mulia.

Ajaran Islam amat menekankan tentang matlamat dan cara yang betul pada setiap masa. Syariat Islam tidak menerima prinsip matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui pekerjaan yang batil seperti amalan riba, rasuah, perjudian, penipuan dan lain-lain. Sebaliknya, Islam mewajibkan umatnya mencapai matlamat dan cita-cita melalui jalan yang benar.

Di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini, marilah kita bersama-sama berdoa agar dilapangkan dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan semua pihak di dalam perjuangan dan usaha mencari rezeki dengan melakukan pekerjaan yang halal demi meneruskan kelangsungan hidup.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)Disiarkan pada: Mei 1, 2021 @ 5:59am

Dipetik dari L https://www.hmetro.com.my/addin/2021/05/700941/tuntutan-rajin-kerja

Please follow and like us:
Total Page Visits: 269 - Today Page Visits: 14