Catatan Zulhijjah 2021

Catatan Zulhijjah 1 : Buku Atlas Haji Dan Umrah
1. Tanah suci Mekah dan Madinah merupakan lembah yang menyimpan banyak rentetan peristiwa bersejarah. Ini termasuklah sejarah Nabi2 dan Rasul serta Rasulullah s.a.w sendiri dan para sahabat. Sesungguhnya peristiwa tersebut boleh diambil iktibar atau pengajaran bukan sahaja untuk membangun jiwa seseorang tetapi juga untuk memahami fiqh ibadah termasuklah ibadah haji dan umrah. Secara tidak langsung ia dapat membangkitkan semangat dan kualiti ibadah umrah dan haji, ke arah memperolehi haji yang mabrur.

2. Buku Atlas Haji Dan Umrah ini sangat menarik kerana ia memberikan informasi yang agak terperinci tentang aspek sejarah dan pemahaman fiqh ibadah dengan ilustrasi dan gambar warna. Mungkn sesuai menjadi pembacaan sebelum berangkat menunaikan haji atau umrah. Ini cetakan 2014. Agaknya ada edisi cetakan terbaharu dengan informasi serta gambar2 yang terkni, khususnya mengenai perkembangan pemodenan serta perluasan kompleks Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Catatan Zulhijjah. 2 – Taman Syurga
1. Hampir semua jemaah haji dan umrah yang pernah berada di Madinah, mendapat nikmat berada dalam Raudhah yang disebut Rasulullah s.a.w sebagai taman2 syurga. Sebab di sinilah dahulu, Rasulullah s.a.w beribadah, solat berjemaah, menerima wahyu, berdakwah dan juga tempat solat para sahabat.

2. Apabila pulang ke tanah air, memasing kata rindukan Raudhah di Masjid Nabawi. Apa yang dirindukan sangat akan kawasan hanya seluas 20kaki x 15kaki antara makam Rasulullah s.a.w dengan mimbar Rasulullah. Tidaklah luas dan kawasan ini dibezakan dengan kawasan lain masjid dengan karpetnya yang berwarna hijau keputihan, manakala kawasan lain karpetnya merah. Ia menjadI tumpuan sebab berkeyakinan bahawa jika solat dan berdoa ia akan dikabulkan oleh Allah s.w.t.

3. Lantaran sempit, bersesak, berebut-rebut hendak mendapatkan ruang berdoa dan solat, benarkah Raudhah memberikan nikmat ketenangan dan kedamaian, bukan sahaja disebabkan penghawa dingin yang menyamankan ? Jika tidak mampu nak ke Mekah dan Madinah, tidak merasalah nikmat berada di taman surga.

4. Mudahnya jika rindukan Raudhah, kumpullah duit dan datang semula ke Masjid Nabawi. Tetapi jika rindukan taman2 syurga, ia ada dan boleh diadakan di mana2 sahaja. Anas bin Malik r.a berkata bahawa sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila kamu melintasi taman-taman syurga hendaklah kamu berhenti untuk mengambil manfaat dan hasilnya”. Para sahabat bertanya, “Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah?”. Jawab baginda, “Majlis-majlis zikir (ilmu).”

5. Nah, tepuk dada tanya selera. Kuliah agama dan majlis-majlis ilmu juga adalah taman2 syurga di dunia. Usah dirindui taman syurga yang jauh-jauh tu. Sebaliknya rebutlah peluang menghadiri majlis2 ilmu di mana sahaja. Usah biarkan majlis ilmu dan kuliah di surau masjid berhampiran sepi dan sepi. Walaupun mungkin tidak setanding dengan berada di Raudhah, namun ia lebih baik daripada merinduinya tanpa melakukan apa-apa. Syurga tidak hanya boleh diperolehi bersandarkan nostalgia dan kenangan semata-mata.