Catatan Zulhijjah – Jabal Uhud

1. Sering menjadi kemestian dalam program ziarah jemaah haji dan umrah ialah mengunjungi Bukit Uhud yang terletak 5km dari Masjid Nabawi. Sampai ke sana, mutawif akan mengimbas kembali kisah Peperangan Uhud sambil ditunjukkan kawasan perkuburan syuhada yang berpagar serta kedudukan bukit memanah.
2. Diatas bukit memanah inilah, tentera memanah alpa akan perintah Rasulullah s.a.w, dengan turun dari tempatnya lantaran terpesona dengan kilauan harta yang menyebabkan kumpulan musuh yang dipimpin oleh Khalid Walid mengambil alih dan menyerang balas tentera Islam sehingga menyebabkan lebih ramai syuhada tentera Islam (70 orang) berbanding kematian dipihak musuh. Jika para sahabat Rasulullah boleh ‘tergelincir’ seketika, apatah lagi kita umat akhir zaman ini.

3. Di atas bukit memanah setinggi 20meter ini kelihatan jelas dan terseregam gagah Bukit Uhud yang juga merupakan salah satu daripada bukit terbesar dan terpanjang di Madinah. Panjang jika diukur dari timur ke barat adalah sepanjang 6 km, tingginya dari aras laut mencecah 1 km dan dari muka bumi pula ialah 450 meter serta warnanya pula kemerah-merahan.

4. Bukit Uhud merupakan salah satu bukit yang disebutkan oleh Nabi, yang dicintai dan mencintainya. Daripada Anas bin Malik r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ketika melihat ke arah Bukit Uhud, “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).” (H.R al-Bukhari )

5. Malah terdapat hadis yang menyebutkan bahawa jika kita hendak melihat bukit yang terdapat di syurga, maka ziarahlah ke Jabal Uhud. Nabi ﷺ bersabda, “Jabal Uhud adalah salah satu dari bukit-bukit yang terdapat di syurga”. (H.R Bukhari)

6. Bukit Uhud juga sering digambarkan mengenai ganjaran pahala yang besar seperti hadis daripada Thauban r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Barangsiapa yang solat ke atas jenazah maka baginya satu Qirath. Adapun jika dia menyaksikan pengebumiannya maka baginya dua Qirath. Satu Qirath itu seperti bukit Uhud (pahalanya).” (H.R Muslim)

7. Terdapat pula satu peringatan keras kerana diriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Kudri ra, Rasulullah s.a.w bersabda: “Janganlah mencaci dan mencerca sahabat-sahabatku. Seandainya di antara kalian menginfakkan emas sebesar bukit Uhud, nescaya (pahalanya) tidak dapat menyamai satu cupak sedekah mereka ataupun setengahnya.” (H.R Muslim)