Facebook Kini ‘Meta’? Ini Yang Perlu Anda Tahu

Gergasi media sosial ini semakin dihujani dengan pelbagai jenis masalah dan krisis. Adakah penjenamaan semula akan membantu atau sebaliknya?
Kecoh dunia media sosial pagi ini apabila Facebook mengumumkan perubahan nama korporatnya menjadi ‘Meta’.
Gergasi media sosial ini semakin dihujani dengan pelbagai jenis masalah dan krisis dan penjenamaan semula ini telah menjadi bahan ejekan ramai, terutama sekali di Twitter. Perubahan nama ini dikatakan menggambarkan arah masa depan syarikat yang mahu menyamarkan garis pemisah antara dunia nyata dan digital.
Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger yang digunakan oleh berbilion penduduk serata dunia akan mengekalkan nama masing-masing. Cuma, sekarang akan tertulis ‘aplikasi atau laman ini dimiliki oleh Meta’ dan bukan ‘Facebook’ lagi.
“Kami banyak belajar daripada pelbagai isu sosial yang dihadapi dan sekarang tibalah masa untuk gunakan semua ilmu itu untuk membina fasa baru kami,” kata Mark Zuckerberg, CEO Meta dalam sebuah persidangan.
“Saya dengan bangga mengumumkan, mulai hari ini (Khamis, waktu Amerika Syarikat), syarikat kami akan dikenali sebagai Meta. Misi kami tetap sama. Untuk menghubungkan manusia melalui aplikasi dan jenama-jenama kami. Itu semua tidak akan berubah,” tambahnya.
Para pengkritik syarikat itu dengan pantas mengecam penjenamaan semula itu. The Real Facebook Oversight Board mengatakan bahawa platform itu mengancam demokrasi di samping menyebarkan maklumat palsu dan kebencian.
“Penjenamaan semula ini tidak bermakna dan tidak sepatutnya mengalihkan pandangan umum daripada siasatan yang sedang dilakukan ke atas Facebook. Mereka patut bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan,” kata kumpulan itu dalam sebuah penyataan.
Gergasi media sosial ini kini sedang berhadapan dengan krisis paling serius. Seorang bekas pekerja, Frances Haugen, telah membocorkan maklumat dalaman yang mengatakan eksekutif syarikat sedar dan tahu potensi buruk laman-laman dan aplikasi yang di bawah syarikat ini.
Krisis ini membuatkan semakin ramai yang meminta pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk mengetatkan pemantauan ke atasnya.
“Kritikan membina dan sangka baik telah banyak membantu kami berubah ke arah kebaikan. Tetapi saya rasa apa yang kita dapat lihat sekarang adalah satu cubaan untuk menjatuhkan kami dengan menggunakan dokumen-dokumen terpilih,” kata Zuckerberg dalam sebuah mesyuarat pada Isnin lalu.
Sebelum Facebook/Meta, jenama korporat Google telah melalui proses penjenamaan semula menjadi Alphabet pada tahun 2015. Namun ia sedikit pun tidak mengubah posisi Google sebagai enjin pencari ulung di internet. – AFP
Dipetik daripada : https://www.getaran.my/artikel/teknovasi/13824/facebook-kini-meta-ini-yang-perlu-anda-tahu