December 8, 2022

Kanak2 Pun Ada Strategi Kutip Duit Raya

MERAK JALANAN | | 05 Mei 2022

MERAK Jalanan juga pernah melalui zaman kanak-kanak yang gembira menyambut Aidilfitri dengan mengumpul duit raya melalui aktiviti kunjungan dari rumah ke rumah.

Mengimbau kembali waktu itu, Merak Jalanan akan bersama kawan-kawan menjelajah ke seluruh kampung bagi mengumpul sebanyak mungkin duit raya kerana peluang tersebut hanya datang setahun sekali. Perancangan kutipan sudah dilakukan lebih awal bagi memastikan ia mencapai sasaran yang diangan-angankan.

Strategi yang pertama ialah gerakan kumpulan bersama rakan-rakan tidak lebih tiga orang kerana kumpulan akan melambatkan pergerakan.

Keduanya, cukup sekadar memakai selipar kerana pemakaian kasut bertali akan menyulitkan keadaan setiap kali untuk masuk dan keluar rumah ketika mengutip duit raya.

Ketiganya ialah beraya dengan menggunakan basikal kerana boleh pergi ke tempat yang lebih jauh dan lebih pantas berbanding berjalan kaki yang akan menyebabkan keletihan.

Keempat, wajib membawa bersama ‘pouch beg’ kerana memudahkan cara untuk memasukkan duit raya yang diberikan oleh tuan rumah.

Dan strategi yang paling utama ialah wajib mengunjungi rumah-rumah yang mempunyai ‘track record’ memberikan duit raya RM1 kerana pada masa itu purata yang diterima ialah 20 sen.

Pada masa itu, Merak Jalanan tidak mengabaikan aspek ziarah Aidilfitri kerana akan masuk dahulu ke dalam rumah dikunjungi, merasai juadah dan berbual ringkas dengan tuan rumah.

Zaman sudah berubah, kini gerombolan kanak-kanak berterus-terang menyatakan mereka hanya mahu duit raya tanpa perlu masuk ke rumah untuk merasai juadah. Ada juga yang tanpa berselindung menyatakan mahu duit raya RM2 setiap seorang. Apa pun situasinya, yang penting kanak-kanak tetap ceria untuk sambut hari raya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/200884/SUARA-SINAR/Pojok/Kanak-kanak-pun-ada-strategi-kutip-duit-raya?utm_source=Newsletter&utm_medium=Email&utm_campaign=Kanak-kanak+pun+ada+strategi+kutip+duit+raya&utm_content=05%2F05%2F2022
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Please follow and like us:
Total Page Visits: 528 - Today Page Visits: 1