December 8, 2022

RUU Antilompat Parti Buka Jalan Iklim Politik Lebih Sihat, Tenang

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof – Julai 28, 2022 @ 2:21pmbhrencana@bh.com.my

Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peraturan antilompat parti atau larangan wakil rakyat bertukar parti menjadi medan penting untuk menguji tahap keterbukaan dan kematangan pemimpin parti politik di negara ini.

RUU itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan dibahaskan hingga hari ini sebelum proses pengundian dibuat.

Undang-undang ini muncul atas kehendak dan hasrat rakyat keseluruhan. Secara umumnya, semua parti politik menunjukkan sikap positif terhadap keperluan kewujudannya, tetapi wujud perbezaan agak ketara dari sudut kaedah dan perinciannya

Justeru, perbezaan yang wujud itu menyebabkan usaha untuk membawa undang-undang ini ke Parlimen amat lambat dan ditangguhkan beberapa kali. Bagaimanapun, sentimen awam mendesak agar undang-undang ini disegerakan sudah wujud, terutama apabila beberapa wakil rakyat bertukar haluan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Desakan ini juga semakin kuat apabila berlaku peralihan kerajaan pada awal 2020 yang menyaksikan bertukar daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN). Namun, baru sekarang RUU itu dapat dikemukakan untuk pembentangan.

Sebenarnya usul RUU bagi peraturan antilompat parti pernah dijadualkan untuk dibentangkan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana wujud bantahan daripada parti politik, terutama di Parlimen.

Sebagai satu bentuk penyelesaian, kerajaan membuat satu ketetapan luar biasa, iaitu menyerahkan kuasa menetapkan draf RUU kepada satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang keanggotaannya terdiri daripada wakil parti politik kerajaan dan pembangkang. Kuasa yang lazimnya menjadi milik Jemaah Menteri itu dikorbankan pucuk pimpinan kerajaan bagi memastikan draf RUU diterima semua anggota Dewan Rakyat.

Diakui bukan mudah untuk mendapat sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat, namun dengan pendekatan dibuat ini dipercayai ahli Parlimen boleh bertindak matang dengan menghormati tolak ansur yang dipersetujui bersama. Pasti, usaha yang berjalan sudah cukup lama tidak sepatutnya dibantutkan lagi dengan keangkuhan dan kedegilan segelintir pemimpin politik.

Sebenarnya kelulusan RUU ini bukanlah menjadi satu perkara sukar jika semua ahli Parlimen meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik.

Kawal tindakan khianati mandat rakyat

Undang-undang antilompat parti ini berpaksikan hasrat rakyat yang mutakhir ini sering kali menyuarakan rasa hilang kepercayaan kepada ahli politik. Undang-undang antilompat parti diharapkan dapat mengawal perilaku segelintir ahli politik yang dianggap mengkhianati mandat rakyat.

Ahli Parlimen perlu mempunyai jiwa besar dan terbuka dalam memberikan sokongan kepada RUU antilompat parti membabitkan pindaan Perlembagaan ini.

Pada dasarnya undang-undang ini mempunyai beberapa tujuan, iaitu pertama untuk memastikan mandat rakyat yang diberikan kepada parti politik tidak dikhianati. Secara umumnya, pengundi menilai wakil rakyat bertukar parti sebagai pengkhianat membelakangkan hasrat sebenar mereka ketika membuat pilihan pada pilihan raya.

Oleh itu, undang-undang ini dianggap perlu bagi memastikan wakil rakyat terhalang daripada melakukan tindakan demikian.

Selain itu, undang-undang ini juga penting bagi mewujudkan iklim politik sihat, iaitu politik berteraskan kepercayaan dan kejujuran. Tindakan melompat adalah satu bentuk pengkhianatan, bukan sahaja kepada pengundi, bahkan juga kepada parti politik dan petugas pilihan raya yang bertungkus lumus memenangkan wakil rakyat.

Selain itu, dalam konteks lebih besar pula, undang-undang antilompat parti ini diharapkan dapat mengurangkan risiko pergolakan politik akibat pertukaran sokongan dalam Dewan Rakyat.

Dua kali pertukaran Perdana Menteri yang berlaku dalam sesi sekarang menimbulkan persoalan besar dari sudut kemampuan sistem politik negara mewujudkan kerajaan stabil dan kukuh.

Elak tukar kerajaan di tengah penggal

Walaupun RUU dikemukakan ini belum sepenuhnya mampu menghalang peralihan kerajaan di tengah-tengah penggal pentadbiran, ia sebagai satu langkah kompromi bagi mengurangkan risiko berkenaan.

Perlu disebut juga bahawa undang-undang antilompat parti ini dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada ahli politik kerana amalan lompat parti sering kali dikaitkan dengan rasuah politik.

Ahli politik dilabelkan dengan pelbagai label, termasuk sebagai manusia yang senang dibeli dengan jawatan atau sanggup bertukar haluan semata-mata ingin melepaskan diri daripada pertuduhan jenayah dan sebagainya. Diharapkan dengan lulus pindaan Perlembagaan ini, persepsi negatif rakyat dapat dikurangkan.

Ringkasnya, kelulusan RUU Larangan Bertukar Parti menjadi tumpuan seluruh rakyat bagi menilai tahap kesediaan ahli politik untuk bekerjasama bagi mencapai kehendak rakyat.

Jika RUU ini berjaya diluluskan hari ini selepas dibahaskan ahli Parlimen selama dua hari bermula semalam baik daripada wakil parti kerajaan mahupun pembangkang, maka ia akan menjadi satu sejarah kematangan ahli politik yang sedia bertolak ansur demi untuk faedah rakyat.

Kita amat mengharapkan keterbukaan kedua-dua pihak sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang bagi membuka jalan kepada iklim politik lebih tenang dan sihat.

Penulis adalah Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/981265/ruu-antilompat-parti-buka-jalan-iklim-politik-lebih-sihat-tenang
Please follow and like us:
Total Page Visits: 259 - Today Page Visits: 1