August 7, 2022

Hayati Konsep Hijrah Dalam Merencana Kehidupan Lebih Baik

Oleh Datuk Hakimah Mohd Yusoff – Julai 30, 2022 @ 12:40pmbhrencana@bh.com.my

SEMPENA sambutan Maal Hijrah tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ dipilih sebagai tema rasmi dan juga tema rasmi bagi semua perayaan Islam peringkat kebangsaan sepanjang tahun 1444 Hijrah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai simbol kebersamaan masyarakat majmuk inklusif dalam menghadapi krisis COVID-19. Tiga teras utama digariskan di bawah konsep Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Antara langkah meningkatkan nilai tiga teras ini adalah menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Ini selari dengan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga keturunan yang mana konsep memelihara keturunan membabitkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Ia penting untuk membentuk masyarakat sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.

Konsep Keluarga Malaysia bentuk kesejahteraan ummah

Konsep Keluarga Malaysia ini ada kaitan rapat dengan konsep kekeluargaan dalam Islam merangkumi ahli keluarga, jiran, sanak saudara dan sahabat handai. Ikatan serasi antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, ahli keluarga serta persekitaran adalah amat signifikan ke arah membentuk kesejahteraan ummah serta melahirkan sebuah negara sentiasa berada di bawah rahmat Ilahi.

Umpamanya, seorang bapa mempunyai peranan penting dalam mengepalai nakhoda perkahwinan supaya seluruh ahli keluarga mampu mengecapi kebahagiaan, bertolak ansur, bekerjasama dan saling memperkukuh antara satu sama lain.

Rumah tangga bahagia akan membentuk masyarakat Malaysia harmoni dan secara tidak langsung memacu negara ke arah kesejahteraan serta kecemerlangan dari sudut sosioekonomi, pendidikan, kesihatan dan segala hal bersangkutan dengannya. Hubungan sesama manusia ini sudah tentu perlu ditunjangi dengan hubungan terhadap Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta.

Manusia menjaga hubungan baik dengan Allah (hablumminAllah) dan hubungan baik sesama manusia (hablumminnas) nescaya tidak akan ditimpa kehinaan di dunia atau di akhirat. Hubungan baik sesama manusia serta Allah SWT perlu dipelihara dengan mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Prinsip kehidupan sosial seharusnya dipelihara dengan baik. Prinsip itu meliputi hubungan antara peribadi, hubungan antara masyarakat dan hubungan antara pemimpin dengan rakyat. Dalam tata kehidupan sosial, setiap orang harus mengetahui dan memahami hak serta kewajipannya masing-masing sehingga tidak ada orang berasa dizalimi orang lain.

Menjaga rahsia dan menutup aib orang lain adalah satu sifat manusiawi mulia dan menggambarkan sikap kita terhadap Allah. Sikap saling bantu-membantu dan prihatin terhadap masyarakat merentasi kaum serta agama akan dapat melahirkan masyarakat harmoni dan stabil. Faktor ekonomi juga boleh menjadi salah satu penyebab rosaknya hubungan baik kita dengan orang lain.

Kegagalan kita mengurus ekonomi diri kadangkala boleh mendatangkan kesusahan kepada orang lain atau menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada orang lain demi meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, Islam sentiasa menganjurkan kita bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi keperluan diri serta keluarga.

Seseorang yang bekerja untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya adalah perbuatan mulia. Islam mencela mereka yang suka meminta-minta tanpa sebab yang munasabah. Sedangkan dia mampu untuk bekerja bagi mencari rezeki yang halal.

Prihatin masyarakat sekeliling

Islam juga menekankan sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Golongan beriman dan bertakwa kepada Allah SWT sentiasa cakna dan prihatin dengan masyarakat sekeliling. Golongan ini tidak sekadar ‘berpeluk tubuh’ melihat kesusahan orang lain, malahan mereka menggunakan kudrat yang ada untuk membantu sesiapa sahaja memerlukan bantuan tidak mengira agama dan bangsa. Mereka membantu tanpa diminta.

Sempena Sambutan Maal Hijrah tahun ini kerajaan memilih tema ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ sebagai manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW. Setiap Muslim perlu berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan, daripada kemaksiatan kepada amalan mulia dan daripada permusuhan kepada persaudaraan.

Keislaman seseorang ditentukan kemampuannya menjaga perkataan dan perbuatannya tidak menyakiti orang lain. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sombong dan angkuh dalam kehidupan bermasyarakat.

Orang yang berasakan dirinya lebih baik dan sempurna daripada orang lain mempunyai kecenderungan memandang rendah kepada orang lain dan berasakan kesenangan dikecapi hak milik dirinya sahaja. Hakikatnya semua yang kita miliki adalah milik Allah.

Justeru, umat Islam di negara ini perlu memahami dan menghayati konsep hijrah ini dengan pengertian sebenar supaya kita mampu merencana sesuatu lebih baik dalam kehidupan hari ini dan mendatang.

Penghijrahan perlu dibuat secara berperingkat dalam segenap aspek kehidupan diri dan ahli keluarga ke arah menuju negara makmur dan harmoni.

Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Dipetik dari : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/982111/hayati-konsep-hijrah-dalam-merencana-kehidupan-lebih-baik

Please follow and like us:
Total Page Visits: 310 - Today Page Visits: 28