December 8, 2022

Negara Kehilangan Tokoh Hartanah Melayu

Oleh Mohd Zaky Zainuddin – Julai 25, 2022 @ 11:36amzaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang tokoh hartanah Melayu terkemuka yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang juga Pengasas Kumpulan EMKAY meninggal dunia akibat sakit tua pagi tadi pada usia 73 tahun.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.45 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN). Allahyarham antara individu yang merintis pembangunan Cyberjaya yang sebelum itu sebuah perkampungan dikenali sebagai Kampung Air Terentang, sebelum berubah sepenuhnya sehingga digelar Lembah Silikon Malaysia.

Cyberjaya dimajukan menerusi Setia Haruman Sdn Bhd dengan projek pembangunan hartanah bernilai RM2.5 bilion bagi menukar ladang kelapa sawit menjadi bandar koridor multimedia utama di Malaysia.

Sebagai Pengerusi Setia Haruman yang juga pemaju induk, Mustapha Kamal menjadi individu penting dalam mencorak pembangunan pesat, sistematik dan holistik di Cyberjaya.

Bukan sekadar Cyberjaya menjadi lokasi terpenting dalam pembangunan hartanah yang memacu perkembangan ekonomi negara, malah pembabitan Mustapha Kamal ditonjolkan daripada pembangunan semula Bukit Merah, Perak menerusi MK Land Holdings Bhd untuk menjadi pusat rekreasi bertema taman tasik yang menarik.

Begitu juga Damansara Damai yang kini pesat membangun sebagai Segi Tiga Emas Petaling Jaya dengan keluasan 300 hektar merangkumi Mutiara Damansara, bandar Utama dan Damansara Perdana.

Walaupun terkenal sebagai tokoh hartanah yang berkemampuan mengubah pekan kecil menjadi perbandaran terkemuka, Mustapha Kamal juga tidak pernah lupa tanggungjawabnya menyediakan kediaman mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.

Pernah digelar sebagai ‘Raja Rumah Mampu Milik’, Mustapha Kamal menerusi MK Land Holdings telah membangunkan puluhan ribu unit kediaman mampu milik yang ditawarkan pada harga di bawah RM100,000.

Justeru, sebagai pemaju hartanah terkemuka, pembangunan kediaman dan komersial perlu disepadukan, selain tanggungjawab kepada golongan berpendapatan rendah dalam setiap pembangunan sesebuah perbandaran juga tidak boleh dipertikaikan.

Itulah yang dilaksanakan oleh bekas graduan Universiti Malaysia itu sejak berdekad lamanya.

Menyusuri perjalanan Mustapha Kamal, Allahyarham telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Selangor.

Beliau kemudiannya beralih kepada sektor korporat apabila dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn Bhd. Terbabit secara langsung dalam pembangunan hartanah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada 1983.

Terdahulu, Allahyarham telah menubuhkan MK Land Holdings pada 1978 dan disenaraikan di Bursa Malaysia (dahulu dikenali Bursa Saham Kuala Lumpur atau BSKL) pada Jun 1992.

Sebenarnya, MK Land Holdings dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn Bhd yang terbabit dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan.

Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Bhd dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings pada Ogos 1999.

Namun, pada Jun 2003, MK Land Holdings menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674 selepas Allahyarham bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.

Beliau berjaya membawa status MK Land Holdings sebagai syarikat pengurusan hartanah yang berjaya membangunkan kawasan yang dahulunya agak terpencil dan tidak mendapat perhatian kepada kawasan elit yang lengkap dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi.

Tidak hanya terbabit dalam bidang hartanah, MK Land Holdings juga terkenal dalam industri perhotelan dan tempat peranginan seperti Bukit Merah Laketown Resort dan Langkawi Lagoon.

Allahyarham juga pernah berjaya meletakkan namanya dalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia membuktikan kejayaan beliau dalam bidang hartanah.

Kisah kejayaan Mustapha Kamal juga disematkan di Galeri EMKAY yang terletak di Menara Mustapha Kamal di PJ Trade Centre, Damansara Perdana. Galeri berkeluasan 284.6 meter persegi ini tampil dengan seni reka sofistikated yang menyingkap sejarah di sebalik kisah hidup tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Galeri Emkay juga menjadi ruang yang mengisahkan titian perjalanan Mustapha Kamal bermula pada zaman kanak-kanak sehingga ke hari ini. Difahamkan bahawa ilham, reka bentuk dan konsep galeri yang dibuka pada 2013 itu adalah ilham beliau sendiri.

Ternyata dengan kejayaan dan sumbangan besar Mustapha Kamal dalam industri hartanah negara sejak awal 1980-an telah membawa perkembangan pesat pembangunan negara hari ini. Malaysia telah kehilangan seorang tokoh hartanah disegani, rendah diri dan menjadi teladan terbaik kepada usahawan Bumiputera.

Please follow and like us:
Total Page Visits: 408 - Today Page Visits: 1