October 3, 2022

PRU15: Adakah Pengundi Sudah Bersedia

29 Ogos 2022 07:10am Masa membaca: 2 minit

UMNO dilihat tidak henti-henti mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera. Pandangan umum melihat desakan itu adalah bagi menyelamatkan pemimpin tertentu daripada kes mahkamah, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai alasan lain.

Katanya, UMNO mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan rakyat dan bukan dibentuk dengan percaturan politik. Oleh kerana desakan kuat daripada parti yang dianggotai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri, maka pemerhati politik meramalkan PRU15 akan diadakan pada bulan November tahun ini juga.

Ia dikuatkan dengan keputusan kerajaan yang akan membentangkan Bajet 2023 tiga minggu lebih awal daripada jadual asal kepada 7 Oktober depan. Desas-desus ia akan diadakan dalam masa terdekat makin bertiup kencang apabila semua pemimpin utama parti politik sudah bersedia menghadapi PRU15.

Seperti dilaporkan akhbar ini pada Ahad, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA) masing-masing dengan nada yakin berkata tidak akan menghadapi masalah jika Parlimen dibubarkan bila-bila masa. Soal pemilihan calon, pembahagian kerusi dan gerak kerja jentera juga sudah hampir selesai.:

Hanya menanti masa sahaja untuk berentap bagi memenangi hati rakyat. Difahamkan juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap-sedia jika Ismail Sabri mengumumkan tarikh penting itu.

Guru-guru, anggota polis dan petugas-petugas berkaitan yang akan berkhidmat pada hari pengundian juga sudah diberikan taklimat yang lengkap oleh SPR. Jadi boleh dikatakan persediaan untuk pengundian sudah hampir lengkap dan sedia untuk memainkan peranan apabila diperlukan.

Cumanya, bagaimana dengan pengundi adakah sudah ada parti yang akan dipilih atau masih ragu-ragu ataupun tidak peduli langsung?

Dengan segala petanda PRU15 makin hampir, semolek-moleknya pertimbangan sudah boleh dilakukan dengan memilih parti yang benar-benar membela nasib rakyat. Pastikan pemilihan parti itu berdasarkan pemikiran yang rasional kerana pilihan yang salah akhirnya akan menyusahkan rakyat.

Dipetik daripada : https://www.sinarharian.com.my/article/218725/suara-sinar/lidah-pengarang/pru15-adakah-pengundi-sudah-bersedia?utm_source=sinarharian_newsletter&utm_medium=email&utm_campaign=Adakah_pengundi

Please follow and like us:
Total Page Visits: 36 - Today Page Visits: 2