December 8, 2022

POLITIK JAJARAN BAHARU ?

Keputusan PRU15 kali ini di luar jangkaan sama sekali. Semua ramalan meleset. Tsunami Melayu dan undi 18! Peratus keluar mengundi pula hanya 73.8%, jauh lebih rendah daripada PRU14.

Telahan yang meramalkan undi PN adalah umpama memberikan kemenangan kepada PH nampaknya tidak tepat. Yang merudum dalam PRU15 ini adalah BN dan bukannya PN. Bukan sahaja ramalan tidak tepat, semua ramalan agensi dalam dan luar negara ke laut. Memang memeranjatkan!

Sebahagian besar Melayu menolak PH kerana ada DAP, manakala mereka menolak BN kerana isu rasuah. Oleh itu mereka memilih PN sebagai piihan ketiga yang dilihat bersih. Penolakan terhadap BN adalah bermakna rakyat tidak memilih parti yang dikaitkan dengan rasuah. Kempen undi BN = Undi Zahid berjaya. Zahid sendiri menang tipis. PH mengekalkan undi bukan Melayu, tetapi kehilangan undi Melayu.

The biggest loser no. 1 ialah UMNO/BN. Mereka hanya menang 26 daripada 120. Kekalahan paling teruk dalam sejarah. Zahid wajar mengambil tindakan terhormat dengan mengundur diri. MIC hanya menang 1, MCA cuma menang 2. The biggest loser no. 2 ialah PKR. Cuma menang 31 kerusi daripada 102.

Malah, dalam Pakatan Harapan yang memenangi 82 kerusi, DAP merupakan blok terbesar dengan 40 kerusi, PKR jatuh no. 2. The biggest winner no 1 ialah PAS. Pas muncul blok terbesar dalam dewan rakyat dengan 44 kerusi.

The biggest winner no. 2 ialah GPS yang memenangi 22 kerusi.

The biggest winner no. 3 ialah Bersatu, yang menang 28 kerusi.

Banyak tokoh besar tumbang termasuk Mahathir, Nurul Izzah, Ku Li, Tengku Zafrul, Ku Nan, Khairudin Aman Razali, Mukriz, Mahfuz, Rina Harun, Shamsul Iskandar, Amiruddin Hamzah, Nur Jazlan, Ahmad Jazlan Yaakob, Zuraida, Azeez Rahim, Rizal Naina Merican, Asyraf Wajdi, Mahadir Khalid, Khalid Samad, Husam Musa dan Azmin Ali.

Gabungan PAS dan Bersatu (PN) berjaya memberi pukulan hebat kepada BN dan PH. Banyak kerusi berjaya dirampas. Nampak ramalan Invoke yang mengatakan mereka ada lebih 90 kerusi juga meleset. Ramalan Anwar juga jauh tersasar. Pada akhir kiraan, PH telah memenangi 82 kerusi. Ia lebih buruk daripada prestasi PRU14 dan PRU13. Gagal membentuk kerajaan. Adakah disebabkan “over confident”?

Anwar pula, dengan segala macam kempen, poster gergasi bersaiz gergasi, hanya menang 3,000 undi majoriti berbanding Peja. Jika ditambah undi Peja dan BN, Anwar dikira menang tidak bergaya berbanding Muhyiddin yang menang lebih 10,000 majoriti, manakala Hadi Awang lebih 40k.

Anwar nampaknya akan kekal PM tepi kerana hampir mustahil PH membuat gabungan dengan parti lain. Ini kerana GPS/GRS awal-awal lagi menolak PH kerana DAP.

Jika pun Anwar nak bergabung dengan BN, bagaimana?
82 + 30 = 112. Sangat tipis dan tidak stabil.

Ini mungkin menjadikan BN tiada pilihan lain selain terpaksa berkompromi dengan PN (Bersatu dan PAS). Gabungan PN+BN+GPS+GRS akan membentuk kerajaan yang paling stabil berjumlah 131. Jika BN dikeluarkan, mereka juga tidak dapat membentuk kerajaan.

Nampaknya “Borneo Block” menjadi penentu pembentukan kerajaan. Mereka akan mendapat seorang TPM dan kuasa yang lebih. Menteri-menteri kanan milik mereka. Satu-satunya harapan bagi PH ialah bergabung dengan BN, GRS, Warisan dan calon bebas (82+30+6+6 = 124).

PN pula boleh membentuk kerajaan dengan bergabung dengan GPS, GRS dan lain-lain (73+22+6+6 = 116). Jelaslah bahawa PH dan BN wajar membuat post-mortem dengan mendalam. Apapun, kita masih menanti rundingan terakhir parti-parti politik untuk membentuk jajaran baharu.

Nampaknya naratif politik perkauman sempit dan sentimen agama masih mendominasi. Melayu dan bukan Melayu masih tidak boleh bersatu. Perpaduan kaum masih gagal walaupun kita sudah merdeka selama 65 tahun. Kenyataan-kenyataan sesetengah pemimpin DAP dianggap mengguris perasaan orang Melayu, walaupun cuba dinafikan berkali-kali.

Ini bermakna kempen melalui meda sosial terus mendominasi. Ini kuasa paling ampuh. Ia boleh menterbalikkan jangkaan sesiapa sahaja. “Segmentize Influencer” memainkan peranan mengikut kumpulan umur yang disasarkan.

Bagaimanapun, hikmahnya ialah kita mempunyai pembangkang yang kuat sebagai “check and balance”. Semoga kerajaan jajaran baharu yang bakal dimuktamadkan menjelang petang ini lebih kuat dan stabil sebagaimana yang rakyat kehendaki.

Dr. Bam Al-Haj

OrangKecil

Penulis buku “Menang 4-0 Ketika Ramai Yang Kalah!”
20.11.2022

Please follow and like us:
Total Page Visits: 336 - Today Page Visits: 1