February 2, 2023

‘Kerjasama BN-PH Bentuk Kerajaan Campuran Di Perak Hakis Identiti Perjuangan UMNO’

Oleh Nas Norziela Nasbah – November 22, 2022 @ 4:16pmbhnews@bh.com.my27

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

KUALA LUMPUR: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perak yang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dilihat menghakis identiti perjuangan parti itu pada pandangan masyarakat Melayu-Islam di negara ini, malah berkemungkinan juga dalam kalangan ahli UMNO sendiri.

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata kerjasama itu boleh memberi kesan mendalam sehingga dikhuatiri mendorong kehilangan identiti asal UMNO sebagai parti gergasi kepentingan Melayu-Islam yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air dulu.

Beliau berkata, ia sekali gus berpotensi menyebabkan kumpulan masyarakat yang masih menitikberatkan dominasi politik Melayu-Islam dalam pentadbiran negara ini, beralih arah memberikan sokongan kepada parti lain yang menawarkan pilihan sedemikian. “Ini secara langsung boleh memberi kelebihan kepada parti baharu atau PAS yang dilihat semakin relevan memperjuangkan isu berkaitan kepentingan Melayu-Islam.

“Sudah tentu ini akan merugikan UMNO dari segi imej dan identiti. UMNO dikhuatiri menghadapi kesukaran untuk membersihkan dan memperbaiki imej mereka sebagai parti kepentingan Melayu-Islam nanti.

“UMNO harus menunjukkan kepada masyarakat bahawa parti berkenaan masih relevan dalam memperjuangkan isu kepentingan Melayu-Islam. Perkara ini dibuktikan PAS yang berjaya memenangi banyak kerusi pada PRU15,” katanya.

Pada PRU15, PN memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, manakala PH dan BN masing-masing meraih 24 dan sembilan kerusi sebelum bekerjasama membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy menjelaskan, rakyat masih mahu ada parti bertanggungjawab untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta perkara yang menjadi identiti berteraskan dominasi politik Melayu-Islam.

“Justeru, mereka berkemungkinan akan mencari alternatif yang ditawarkan parti lain kerana UMNO dilihat seolah-olah hilang keistimewaan itu dalam mempertahankan isu kepentingan Melayu-Islam apabila memilih bekerjasama dengan PH, kerana identiti atau imej diperjuangkan UMNO selama ini ialah ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.

Dipetik dari : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1029900/kerjasama-bn-ph-bentuk-kerajaan-campuran-di-perak-hakis-identiti

Please follow and like us:
Total Page Visits: 77 - Today Page Visits: 1